Home » Langit Terbuka » PERKIM Village @ Shah Alam untuk aktiviti mualaf

PERKIM Village @ Shah Alam untuk aktiviti mualaf

Mokhtar Ismail di hadapan 'PERKIM Village @ Shah Alam'. Foto : Berita Harian

SHAH ALAM 4 Feb. –  Bagi membantu memperkasa kebajikan asnaf mualaf, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Selangor membina kompleks khusus untuk kumpulan itu di Seksyen 8, di sini.

Kompleks dua tingkat berkeluasan 2,453 meter persegi (26,400 kaki persegi) membabitkan kos RM8 juta itu merangkumi kemudahan dewan utama, pejabat, bilik seminar, kafe, surau dan ruang sokongan lain.

Kompleks itu yang dijenamakan sebagai ‘PERKIM Village @ Shah Alam’ akan menjadi wadah kepada ribuan mualaf di negeri ini untuk menyertai pelbagai aktiviti terutama berkaitan pendidikan Islam dan sosial.

Selain itu, kompleks berkenaan terbuka untuk disewakan kepada badan korporat atau pihak persendirian bagi menjana ekonomi PERKIM Selangor yang ditubuhkan sejak 1964.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mokhtar Ismail, berkata pihaknya memperjuangkan nasib dan kebajikan hampir 38,000 mualaf berdaftar, yang menghadapi pelbagai cabaran termasuk kehilangan keluarga dan sokongan masyarakat agama asal mereka.

“Justeru, kami (PERKIM) berperanan memberi sokongan kepada golongan itu melalui dakwah dan pendidikan Islam dengan cara positif selain menjalankan kerja kebajikan atau amal jariah kepada mereka terutama asnaf mualaf.

“Pembinaan Kompleks PERKIM pertama seumpamanya sejak kemerdekaan negara itu dilihat bertepatan kerana bukan saja menjadi pusat kemudahan kepada mualaf malah membantu menjana dana ekonomi untuk membantu mereka,” katanya ketika ditemui di kompleks itu baru-baru ini.

Mokhtar berkata, pihaknya bagaimanapun belum memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berikutan perlu melunaskan baki kos pembinaan berjumlah RM600,000.

“Pembinaan kompleks ini merangkumi tiga fasa pembinaan dan dua daripadanya terpaksa dihentikan kerana beberapa faktor luaran serta kekurangan dana pada 2007 dan 2011.

“Usaha kami menerusi syarikat PERKIM Selangor Sdn Bhd (UPSB) sejak Julai 2016 bagaimanapun berjaya menyiapkannya pada Julai tahun lalu. Namun, ia belum dapat beroperasi sepenuhnya kerana ketiadaan CCC berikutan kekangan kos terutama bagi pembinaan saluran bekalan air dan konkrit penahan benteng,” katanya.

Justeru, bagi meneruskan usaha menjayakan kompleks yang dibina atas tanah pemberian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu, Mokhtar berkata, pihaknya melakukan pelbagai inisiatif untuk mencari jana.

Ia termasuk menganjurkan program jemputan Golf Amal PERKIM Selangor (GAPS) dengan kerjasama Media Prima Bhd (MPB) dan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) di Impian Golf & Country Club di Kajang, pada 10 Februari depan.

“Kami tiada sumber kewangan yang tetap dan MPB atau NSTP dipilih kerana mempunyai pengikut yang ramai, sekali gus diharap dapat membantu memperoleh dana untuk menyiapkan sepenuhnya kompleks itu.

“Kos penyertaan golf itu berjumlah RM5,000 bagi satu ‘flight’ dan kami juga memohon dana tambahan dalam bentuk sumbangan atau zakat bagi program berkenaan,” katanya memaklumkan pihaknya turut menjual produk seperti cecair pemusnah serangga bagi menjana dana untuk golongan mualaf.

Mokhtar berkata, PERKIM Selangor amat berharap kompleks itu beroperasi sebelum Ramadan ini dengan memperoleh dana yang diperlukan sekali gus CCC berkenaan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan sumbangan, program GAPS dan produk boleh menghubungi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Hidayati Md Nor di talian 019-3132580 atau Eksekutif Pemasarannya, Fara Md Nor (016-6857470). – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *