Home » Langit Terbuka » Perkasa selar kenyataan Ku Li mengenai Jakim tidak berperlembagaan

Perkasa selar kenyataan Ku Li mengenai Jakim tidak berperlembagaan

Ibu pejabat Jakim di Kompleks Islam Putrajaya. Foto : Utusan

KUALA LUMPUR, 1 Februari : Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini, telah menyelar Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) mengenai dakwaan beliau bahawa Jakim tidak berperlembagaan.

Dalam satu kenyataan petang tadi, PERKASA memberi ingatan tuduhan Jakim tidak berperlembagaan adalah pengulangan tohmahan yang dilakukan oleh Kumpulan G25.

Dalam kenyataan tersebut, sebagai tokoh yang berhemah dan istiqamah, Ku Li seharusnya cermat dan teliti dalam tindakan dan ucapannya apabila mengkritik dan membuat tuduhan kepada pihak Jakim. Tuduhan tersebut menjejaskan kredibiliti dan kewibawaan Jakim selaku organisasi utama yang memajukan Islam dan pengurusan hal ehwal Islam dalam negara ini.

Tambah PERKASA, Jakim diberi tanggungjawab untuk menyelaraskan perkara penting di antara agensi-agensi kerajaan yang berbeza fungsi dan peranan melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dengan perintah Majlis Raja-Raja. Tiga tugas utama Jakim yang termaktub dalam peraturan MKI ialah perundangan dan kehakiman, pendidikan dan urus tadbir Islam.

Telah jelas didalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, Perkara 1 (4), Perkara 12 (2), Perkara 121 (1A) dan ikrar Yang DiPertuan Agung di bawah Perkara 37 (1) memanifestasikan bahawa pihak kerajaan mempunyai kuasa mutlak untuk menubuh, mengurus dan memberikan dana kepada mana mana institusi berkaitan Islam. Perkara ini seperti tidak boleh dipertikaikan lagi, tambah Dr. Amini dalam kenyataan tersebut.

Terdahulu pada tahun 2015, Tawfik Tun Dr. Ismail telah membuat tuduhan yang sama dan telah dijawab oleh Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha bahawa Jakim berperanan membantu Perdana Menteri dalam hal ehwal Islam selaras dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Sementara itu, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dalam satu kenyataan pada 2015 pernah menjelaskan Perkara 12 (2) Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan bahawa adalah sah bagi Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri untuk menyelenggara atau membantu penubuhan institusi Islam dan memberikan bantuan termasuklah melunaskan segala perbelanjaan untuk tujuan tersebut.

Serangan terhadap Jakim dilihat semakin berterusan. Perkara ini sering dilihat banyak dimainkan oleh pihak yang berfikiran liberal. Mereka seolah-olah cuba untuk melenyapkan institusi yang berusaha membawa Islam ke hadapan dalam sistem pentadbiran negara baik di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat negeri.

Menerusi video yang dimuatnaik oleh FMT News, Ku Li dilihat terperangkap dengan soalan dan permainan wartawan yang pastinya memberikan fokus kepada Jakim tidak berpelembagaan. Video tersebut hanya berdurasi 2:21 minit, berkemungkinan telah dimanipulasi bagi mencapai tujuan mereka itu.

Sepertimana sedia maklum, pihak Pakatan Harapan (PH) sangat gusar dengan agenda Islam dan penyatuan Melayu. Pelbagai cara dan helah digunakan untuk meletakkan agenda Islam dan penyatuan Melayu itu tidak penting berbanding kos sara hidup rakyat.

Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keharmonian beragama dan berbilang kaum, sewajarnya kita berlapang dada dalam menilai sesuatu isu yang dibangkitkan khususnya oleh media online pro PH.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *