KUANTAN, 10 Mei – Perkahwinan di antara rakyat tempatan dengan warga asing yang dilaksanakan mengikut kehendak hukum syarak khususnya di Pahang, diharuskan bagi mengelakkan perkara bertentangan agama Islam.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, pada masa sama, pasangan itu perlu membuat pengesahan yang diperakukan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk memudahkan urusan masa depan.
“Kita cuma mahu menyelesaikan masalah ini mengikut hukum syarak bagi kes-kes berkaitan. Katalah kalau ada orang hendak berkahwin, jika kita tidak benarkan, mereka akan berzina pula.
“Oleh itu, kita terpaksa kahwinkan mereka juga, namun bila sudah berkahwin, ia akan menyalahi undang-undang imigresen pula (jika tidak melakukan mengikut prosedur), itu tidak boleh selesai…kalau dah berkahwin dan tidak daftar, akan jadi masalah kemudian hari, termasuk persekolahan anak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Penubuhan Sekretariat NGO Islam Pahang pada Selasa, sebagai mengulas tindakan yang boleh dikenakan terhadap wanita tempatan berkahwin dengan warga asing tanpa mematuhi syarat dan prosedur perkahwinan ditetapkan Jabatan Imigresen.
Katanya, perkara itu sudah dibincangkan dengan mendalam pada mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Resam negeri Pahang (MUIP) baru-baru ini.
“Dari segi hukum syarak, kita sudah lepas (tanggungjawab). Namun, perkara berkaitan undang-undang imigresen kita kurang pasti.
“Jika pihak penguat kuasa (imigresen) hendak mengambil tindakan ke atas pasangan yang terlibat, mereka boleh buat kerana itu merupakan sebahagian daripada tugas mereka. Tetapi, dari aspek agama pula, mereka diharuskan berkahwin,” katanya.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dalam kenyataan berkata, wanita tempatan yang berkahwin dengan warga asing tanpa mematuhi syarat dan prosedur yang ditetapkan Jabatan Imigresen boleh dikenakan tindakan kerana melindungi pendatang tanpa izin.
Ia merupakan kesalahan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002). Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga 5 tahun atau 6 sebatan.
Malah, Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) buruh berkenaan boleh terbatal secara automatik dan perlu meninggalkan negara ini. – Bernama
KOMEN