Home » Langit Terbuka » Perjuangan komunis tidak boleh diiktiraf

Perjuangan komunis tidak boleh diiktiraf

Aktivis Angkatan Demokrasi Milenial Bersekutu berkata, orang muda perlu terus diajak untuk memahami sejarah selain mendengar sendiri pengalaman mereka yang terkesan daripada tindakan komunis

JOHOR BAHRU – Orang muda perlu sedar bahawa mana-mana perjuangan yang pelaksanaannya dibuat dengan kekejaman kepada orang awam, adalah jelas satu perjuangan yang tidak boleh diiktiraf dan diangkat.

Aktivis Angkatan Demokrasi Milenial Bersekutu (Muda), Onn Mahathir Md. Nasir berkata, atas sebab itu, orang muda perlu terus diajak untuk memahami sejarah selain mendengar sendiri pengalaman mereka yang terkesan daripada tindakan komunis.

Menurutnya, langkah tersebut penting supaya orang muda mengetahui cerita sebenar kerana golongan berkenaan tidak mengalami apa yang berlaku pada waktu itu sekali gus tidak tahu cerita betul dan yang salah.

“Saya lihat orang muda ini mudah terpengaruh atau mungkin tidak mendapat maklumat daripada sumber yang sepatutnya dan atas sebab itu kita undang orang yang ada pengalaman untuk berkongsi cerita dan mahu golongan muda menilai semua itu sebaiknya.

“Ini kerana kalau kita sebagai orang muda sendiri tidak tahu macam mana nak jelaskan kepada generasi akan datang, bagaimana kita nak memimpin negara kita satu hari nanti, jadi, kita perlu tahu fakta sejarah dan ambil maklum semua sumber.

“Kita tidak boleh ambil daripada satu sudut lebih lagi kita sendiri tidak mengalaminya, kita tidak tahu perasaan orang terdahulu bagaimana…kalau mati tentera kata itu satu bonus tetapi kalau hidup dengan kecacatan kekal akibat kekejaman, saya rasa ia satu perkara yang tidak boleh diterima untuk diiktiraf,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Forum Muda – Komumis, Pejuang atau Petualang yang mengundang dua speaker iaitu penerima anugerah Penglima Gagah Berani (PGB), Lt. Kol. (B) Basri Omar dan Pengarah Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Dr.Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.

Onn Mahathir berkata, forum itu dianjurkan dengan mengambil semangat 16 September untuk berkongsi cerita sekali gus membangkitkan semangat patriotrisme kerana mahu orang muda tidak mudah lupa dan sentiasa ingat serta belajar supaya apa yang sudah berlaku tidak akan berulang sejajar usaha memastikan erti keamanan serta kemerdekaan terus dihargai. – Utusan Malaysia

 

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *