Home » Langit Terbuka » Peribadi pemimpin yang baik, belum tentu kepimpinannya hebat – Mufti Wilayah

Peribadi pemimpin yang baik, belum tentu kepimpinannya hebat – Mufti Wilayah

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohd Bakri

KUALA LUMPUR: Pemimpin yang baik tidak semestinya mampu membina kepimpinan yang hebat.

Jelas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohd Bakri, seorang pemimpin yang mempunyai sahsiah yang baik belum tentu boleh membentuk kepimpinan yang mantap.

“Baiknya seorang pemimpin boleh jadi ia hanya terhad kepada peribadinya sahaja.

“Kerana bukan semua pemimpin mampu melaksanakan urus tadbir dan tugas dengan cekap, mantap dan efisien secara profesional,” katanya dalam kenyataan di laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan hari ini.

Dalam pada itu, melihat segelintir masyarakat yang kerap kali berbicara soal kebaikan pemimpin di media sosial, Zulkifli menggariskan tiga ciri utama kepimpinan yang selari dengan Rasulullah SAW di kota suci Madinah.

Wawasan, misi dan visi yang jelas

Memiliki kemampuan berfikir dalam pelbagai pendekatan bagi mencari alternatif serta mampu memperhalusi sesuatu abstrak kepada nyata

Nilai serta akhlak yang unggul

Mampu memupuk nilai kasih sayang, teladan serta mempunyai nilai intergriti dalam diri

Daya ketahanan kental

Mempunyai daya kekuatan hingga mampu menggerakkan semangat orang lain serta mempunyai daya tahan fizikal dan mental.

Selain itu, Zulkifli turut menasihatkan ruang kebebasan berhujah yang lebih luas selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, haruslah diamalkan dengan adab dan tatasusila.

“Selepas PRU, pelbagai isu baharu timbul yang menyebabkan masyarakat minat dengan politik dan sistem pemerintahan negara.

“Namun, keterbukaan idea yang memberi kesegaran minda ini, harapnya dilakukan dengan adab dan tatasusila ketika menegur dan mengkritik,” jelasnya lagi. – ASTRO AWANI

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *