PADA 9 Oktober 2024, YADIM telah mengadakan kunjungan hormat kepada Unit Pembangunan Komuniti, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membincangkan potensi kerjasama antara kedua-dua pihak.
Unit Pembangunan Komuniti DBKL diwakili oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti Kesejahteraan Bandar( JPKKB), Encik Haji Ahmad Tarmizi Baharom dan Penolong Pengarah JPKKB, Puan Amimas Othman.
YADIM pula diwakili oleh Ketua Unit Penyelidikan Dakwah, Dr Masitah Esa, Cik Siti Afiza Iman dan Encik Aniq Muqri Mohammad.
Perbincangan ini merangkumi pelaksanaan simposium bertajuk “Solusi Kesihatan Mental daripada Perspektif Dakwah” (SMILED), yang dijadualkan berlangsung pada 15 Oktober di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.
Kerjasama ini bertepatan dengan matlamat untuk memberi pendedahan dan pemahaman kepada masyarakat mengenai isu kesihatan mental yang semakin mendapat perhatian di kalangan rakyat Malaysia. Melalui inisiatif ini, diharapkan lebih ramai individu akan sedar tentang pentingnya menjaga kesihatan mental, serta mendapatkan bantuan yang tepat apabila diperlukan.
Selain itu, kerjasama ini tidak terhad kepada penganjuran simposium semata-mata. Fasa kedua dan ketiga yang dirancang adalah untuk melibatkan masyarakat secara langsung dalam program-program kesedaran dan pendidikan mengenai kesihatan mental.
Dengan memanfaatkan kepakaran dan sumber yang ada pada YADIM dan DBKL, pelbagai aktiviti berimpak tinggi dapat dirancang untuk mendekatkan masyarakat kepada isu ini. Program-program seperti ceramah, bengkel, dan sesi perundingan akan dilaksanakan di kawasan-kawasan strategik bagi memastikan capaian yang lebih luas.
Melalui pendekatan ini, diharapkan masyarakat akan lebih terbuka untuk berbincang dan menangani isu kesihatan mental dalam kalangan rakan sebaya dan ahli keluarga.
Di akhir kunjungan hormat ini, kedua-dua pihak menekankan komitmen mereka untuk terus menjalin kerjasama dalam usaha memperkukuh kesedaran tentang kesihatan mental. Objektif utama inisiatif ini adalah untuk menyokong kerajaan dalam memberi penekanan kepada kepentingan kesihatan mental serta menyediakan solusi yang efektif bagi individu yang mengalami gangguan mental.
KOMEN