Home » Langit Terbuka » Perbetulkan persepsi Islam agama zalim, jumud

Perbetulkan persepsi Islam agama zalim, jumud

Menteri di Jabatan Perdana Menteri )Agama) menegaskan, bahawa selayaknya risalah Islam yang membawa panji-panji kedamaian dan keadilan serta menolak fanatik perkauman terus disebar-luaskan kepada masyarakat keseluruhannya

KUALA LUMPUR – Persepsi Islam sebagai agama yang zalim, jumud dan tidak bertimbang rasa mesti diperbetulkan.

Perkara itu ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa bahawa selayaknya risalah Islam yang membawa panji-panji kedamaian dan keadilan serta menolak fanatik perkauman mesti terus disebar-luaskan kepada masyarakat keseluruhannya.

Beliau memberitahu, selari dengan keperluan masa kini, kerangka fiqh harus dilihat dalam skop yang lebih luas berasaskan kepada realiti budaya setempat tanpa menggadaikan prinsip-prinsip asas Islam.

“Inilah sebenarnya semangat hijrah yang mesti sama-sama kita hayati bersempena sambutan Maal Hijrah pada tahun ini.

“Malah dengan cabaran yang sedia terbentang, umat Islam mesti berani berhijrah dan melakukan transformasi dalam memperkasa pencapaian dan kemajuan diri, keluarga, masyarakat mahupun negara,” katanya dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2018M di Masjid Wilayah Persekutuan di sini.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan berangkat ke sambutan majlis ber­kenaan.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Ke­tua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, kesinambungan penganjuran majlis tersebut dalam suasana landskap Malaysia baharu membuktikan komitmen dan ilti­zam kerajaan meninggikan syiar Islam di negara ini.

Beliau berkata, sesungguhnya Islam terus dijunjung tinggi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara.

“Seiring dengan perubahan iklim pentadbiran negara, agenda reformasi berterusan termasuk aspek pembangunan Islam turut diberikan perhatian dalam memacu kelangsungan pengurusan Islam yang lebih dinamik, kompeten dan berdaya saing,” katanya. – Utusan Malaysia

 

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *