Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 18 Okt. – Undang-undang mesti diperbaiki dari semasa ke semasa bagi menghalang fahaman liberal, seperti aliran Sisters in Islam (SIS), daripada terus menyebar idea-idea mereka menggunakan alam siber.
Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohd Farid Mohd Shahran berkata, kelompok liberal dalam pemikiran Islam banyak menggunakan ruang siber untuk mempertikaikan prinsip akidah dan menyebar fahaman mereka.
“Kelompok seperti Jaringan Islam Liberal di Indonesia, Sisters in Islam dan beberapa kelompok sealiran mereka yang lain, walaupun kelompok ini tidak bersikap agresif dari segi terlibat dengan aktiviti terorisme dan kekerasan, namun mereka bersikap agresif dari segi pemikiran dengan mempertikaikan prinsip akidah dan fiqh yang telah berakar umbi dalam tradisi keilmuwan Islam,” katanya.
Berucap pada pada Seminar Undang-Undang Jenayah Syariah di Alam Siber, di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini, hari ini, beliau berkata, terlalu banyak kemelut akidah yang membimbangkan, berlaku dalam masyarakat Islam hari ini, termasuk kemunculan fahaman ekstrem aliran jihadi takfiri, seperti IS dan Daesh.
Justeru, katanya, bagi menangani permasalahan penentangan akidah ini, beberapa tindakan segera perlu diambil.
“Pertama, keperluan kepada undang-undang yang dapat mengawal perkembangan maklumat yang merosakkan akidah umat Islam.
“Setiap agensi yang terlibat dengan pengurusan alam siber harus bersama-sama berpadu tenaga dan bekerjasama dalam menyeragamkan polisi kawalan penggunaan alam siber.
“Kedua, pendidikan masyarakat untuk berhadapan dengan fenomena kecanggihan siber perlu ditingkatkan. Tidak kira apa jawatan atau kedudukan seseorang, yang penting setiap individu harus bermula dengan mendidik dirinya sendiri berkaitan kepentingan memelihara nilai akhlak dan ilmu dalam menelusuri alam siber.
“Hanya dengan kesedaran yang sedemikian, kita akan mampu membina sebuah masyarakat serta peradaban yang unggul,” katanya.
Dr Mohd Farid berkata, laporan bahagian perisikan Polis Diraja Malaysia sentiasa menunjukkan bahawa perkembangan kelompok ekstrem ini meningkat dari sehari ke sehari.
“Sementara alam siber merupakan medan terbesar serta medium utama kelompok ini menambah ahli serta merekrut anggota baru termasuk dalam kalangan wanita dan remaja,” katanya
Malah, beliau berkata, menurut kajian, antara strategi kumpulan militan IS untuk menyebarkan ideologinya secara lebih berkesan, ialah dengan berkawan terlebih dahulu dengan bakal militan melalui media sosial sebelum merekrut mereka.- https://www.ismaweb.net/
KOMEN