Home » Langit Terbuka » Perancis hargai modul deradikalisasi Malaysia

Perancis hargai modul deradikalisasi Malaysia

PUTRAJAYA 28 Mac – Perancis amat menghargai kesudian Malaysia berkongsi modul deradikalisasi bagi membantu negara itu meme­rangi ekstremisme serta keganasan global.

Presiden Perancis, Francois Hollande berkata, pihaknya memandang tinggi terhadap kerjasama Malaysia dan Perancis menerusi pengenalan modul tersebut yang dilihat beliau telah mendatangkan impak positif.

“Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan kesederhanaan dan toleransi sekali gus ini senada dengan usaha Perancis bagi mengajak masyarakatnya hidup bersama.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana sudi berkongsi modul itu bersama Perancis dan kami amat yakin terhadap usaha murni ini,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Perancis di sini hari ini.

Perancis sebelum ini dikejutkan dengan pelbagai siri serangan pengganas sehingga meragut nyawa dan mencederakan rak­yatnya serta para pelancong.

Dalam pada itu, menurut Najib, modul deradikalisasi Malaysia yang diserahkan kepada Perancis tersebut mencatatkan kejayaan sebanyak 95 peratus dalam usaha menghapuskan anasir ekstre­misme di negara ini.

“Dalam pertemuan tadi, kami juga menyentuh kerjasama kedua-dua negara bagi menghapuskan anasir keganasan dan saya juga berkongsi pengalaman Malaysia mengenai bagaimana kita berhadapan cabaran tersebut.

“Kami berharap sumbangan ke arah itu (bagi memerangi keganasan) dapat dicapai menerusi kewujudan Pusat Komunikasi Digital dan gerakan kesederhanaan global yang merupakan prinsip utama memerangi pengaruh keganasan yang perlu diangkat oleh kedua-dua negara,” katanya.- www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *