Home » Muamalah » Perancangan kewangan naqli dan aqli (siri 1)

Perancangan kewangan naqli dan aqli (siri 1)

Oleh NURADLI RIDZWAN SHAH MOHD DALI

Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali ialah Pengarah, Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel- artikel yang bakal anda baca ini akan mengubah cara hidup anda pada masa hadapan kerana dengan membaca dan mengamalkan apa yang disarankan, anda akan dapat membezakan cara dan strategi kewangan anda dari kebiasaan yang diamalkan orang di dalam dunia ini.

Ramai yang kita lihat bersusah payah mendapatkan pendidikan tinggi di universiti tempatan dan luar negara, ramai yang cemerlang, ramai mendapat pekerjaan yang baik, tetapi masih ramai yang gagal dalam mengurus kewangan sendiri hingga tidur malam terganggu dan ditimpa pula dengan masalah kesihatan. Ini adalah kumpulan majoriti iaitu 80 peratus.

Ada segelintir pula yang cuma lulus-lulus sahaja. Gaji dari pekerjaan pun tidak setinggi yang lain tetapi boleh hidup bahagia tanpa masalah kewangan. Mereka ini adalah kumpulan kecil iaitu 20 peratus. Apa yang menyebabkan dua golongan ini berbeza?  Anda mesti mempunyai jawapan sendiri tentang bagaimana situasi ini boleh berlaku. Pendapat anda tetap diraikan kerana kita semua mempunyai pendapat masing-masing berdasarkan pengetahuan, pengalaman lepas dan persekitaran.

Saya cuma ingin mengutarakan salah satu sebab dari berpuluh-puluh sebab yang telah anda jawab tentang mengapa ada satu kumpulan kecil ini tidak mempunyai masalah kewangan dan kumpulan besar yang ramai ini akan menghadapi masalah kewangan.

Saya bersetuju dengan jawapan anda tetapi bolehkah kita bersetuju bahawa perbezaan utama mereka dapat menguasai kewangan mereka ialah dari segi bagaimana untuk merancang, membuat strategi dan juga untuk mengambil tindakan di atas kestabilan dan pertumbuhan kewangan mereka. Saya sering ditanya perlukah kita merancang kewangan kita.

Malahan saya pernah di undang dalam rancangan televisyen “Selamat Pagi Malaysia” untuk mengupas isu perbelanjaan keluarga. Saya ditanya, perlukah kita melibatkan keluarga di dalam perancangan kewangan kita? Apa jawapan anda?  Malah apa tindakan anda?  Adakah anda beristiqamah membuat “budget” sekurang-kurangnya setahun sekali? Jika anda sudah berkeluarga, adakah anda melibatkan isteri atau suami anda? Jika sudah mempunyai cahaya mata, adakah anda melibatkan anak-anak di dalam perancangan keluarga anda?

Ada yang mengatakan bahawa perkara ini berlaku kerana mereka tidak pernah mempelajari tentang pengurusan kewangan. Sebagai contohnya, anda seorang guru, ilmu kewangan pula bukan bidang anda, jadi ikut arus dan rentak sahaja. Akhirnya setelah berpuluh-puluhan tahun bekerja, hutang yang di kumpul. “Takkan pencen nanti masih menanggung hutang yang banyak”? Kesempatan masa yang ada setelah bersara itu sepatutnya dihabiskan untuk membuat banyak aktiviti sosial, keagamaan dan menyumbang kepada masyarakat.

Ramai yang mempercayai jika seseorang itu belajar di menara gading di dalam bidang perniagaan, perakaunan atau kewangan, secara automatik mereka akan mempunyai masa depan yang cerah kerana mempunyai pengetahuan untuk mengurus kewangan.

Walau bagaimanapun, hakikatnya pernyataan ini menyimpang dari realiti sebenar kerana jika kita lihat, bekas graduan pelajar universiti di dalam bidang ini pun akan mempunyai masalah kewangan seperti mana graduan-graduan pelajar di dalam bidang lain juga.

Secara amnya, ramai graduan yang telah bekerja akan mempunyai baki tunai di bank sebanyak RM100 pada tiap akhir bulan. Pengalaman saya semasa memulakan dunia pekerjaan pun boleh dikatakan begitu. “Tak sampai akhir bukan, poket sudah kering”. Malah, ada juga yang telah kehabisan gaji bulanan pada pertengahan bulan iaitu di antara 15 hingga 25 hari bulan tiap-tiap bulan.

Persoalannya, mengapakah graduan dari bidang kewangan, perakaunan, dan perniagaan yang telah mendalami ilmu bidang kewangan selama empat ke lima tahun di universiti masih mempunyai masalah kewangan seperti kebanyakan orang lain. Rakan saya semasa mengambil jurusan kewangan pernah mengadu kisahnya yang tidak dapat mengawal kewangan peribadi walaupun kami sama-sama menuntut bidang kewangan di universiti. Beliau mempunyai beberapa hutang yang agak besar yang perlu diselesaikan.

Adakah subjek-subjek yang berteraskan kewangan di universiti tidak mencukupi atau adakah pelajar tidak dapat memahami apa yang mereka pelajari? Jika diteliti secara mendalam, sebenarnya kebanyakan subjek yang ditawarkan di universiti menjurus kepada bagaimana pelajar hendak mengurus kewangan syarikat atau pelabur.

Pelajar jurusan Akaun akan menjadi pakar di dalam merekod dan melapor akaun syarikat, pelajar jurusan Kewangan pula akan menjadi pakar analisa kewangan untuk melaburkan wang pelabur manakala pelajar jurusan Perniagaan akan menjadi pakar untuk mengurus perjalanan syarikat seterusnya meningkatkan keuntungan kepada syarikat.

Pelajar-pelajar menjadi terlalu pakar di dalam mengurus kewangan individu lain dan syarikat sehingga mereka terlupa bahawa kewangan peribadi juga perlu diurus secara bijak untuk menjamin mereka tidak dilanda jerat beban kewangan yang akan menjadikan mereka hamba sehingga mereka tua.

Justeru itu, saya ingin membuka minda pembaca semua untuk bersama-sama mencapai tahap kewangan bebas supaya kita tidak terjerat dengan beban kewangan seperti hutang melampau dan sebagainya. Secara mudahnya, kita perlu mengubah minda kita dari yang biasa-biasa kepada MINDA jutawan.

Berbagai persoalan akan terbentuk di benak anda, apakah dengan mempunyai minda jutawan kita akan dapat keluar dari jerat beban kewangan dan mencapai kewangan bebas? Jawapannya YA. Ini adalah kerana dengan memprogramkan minda, kita akan menjadi lebih fokus untuk mencapai sesuatu yang telah ditetapkan.

Jika anda membaca buku “Think and Grow Rich” oleh Napolean Hill yang telah menemu ramah seramai 500 orang jutawan di dalam zamannya, maka anda akan mendapati bahawa kesemua jutawan yang ditemu ramahnya memulakan pagi mereka dengan teknik berfikir untuk mencapai kejayaan. Si jutawan berfikir pada setiap pagi untuk mencapai sesuatu matlamat yang telah ditetapkan. Teknik atau amalan yang digunakan oleh jutawan-jutawan itu sebenarnya adalah teknik yang selalu diamalkan oleh kita. Amalan yang dimaksudkan ialah berdoa selepas menunaikan solat subuh.

Berdoa dapat memusatkan seluruh tenaga dan tindakan kita untuk mencapai sesuatu matlamat pada hari tersebut. Berdoa selepas subuh dapat memprogramkan minda kita supaya lebih fokus untuk mencapai matlamat kita dan jika kita berdoa secara berterusan atau istiqamah maka insya-Allah kita akan dapat mencapai matlamat kita ini.

Jadi jika kita sentiasa berdoa pada setiap waktu solat maka kita akan fokus terhadap apa yang kita mahukan pada setiap hari untuk kita mencapai matlamat yang lebih besar seperti menjadi jutawan Mukmin yang beriman di dalam tempoh lima tahun dan sebagainya. Secara asasnya, kita perlu mendalami tentang pendapatan, perbelanjaan dan pelaburan dan semestinya barakah.

Persoalan mengapa anda perlu menjadi jutawan tidak perlu disenaraikan di sini, cukup sahaja dengan membuka peluang kepada kita untuk memudahkan kita menjalankan ibadah dan mengeluarkan zakat. Pada siri akan datang saya akan kupas tentang angan-angan. Angan-angan ini memainkan peranan penting.  Apakah angan-angan anda ketika kecil?  Apakah angan-angan anda ketika anda remaja? Apakah angan-angan anda bila anda sudah tua? Apakah angan-angan anda setelah menghadapi kematian?  Apakah angan-angan anda pada hari pembalasan? – MAJALAH DAKWAH

BERSAMBUNG SIRI 2

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *