Home » Persuasif » Peranan ulama meraih kemenangan dalam peperangan

Peranan ulama meraih kemenangan dalam peperangan

Oleh BURHANUDDIN JALAL

Sejarah telah mencatatkan bahawa dalam setiap kemenangan yang diraih oleh umat Islam dalam peperangan, terdapatnya peranan ulama dalam siri peperangan yang berlaku dan ternyata ulama telah memainkan peranan yang penting dalam setiap kemenangan tersebut.

Dalam Perang Salib yang diketuai oleh Salahuddin al-Ayubi, para tenteranya terdidik dengan pengajaran dan tarbiah yang dilakukan oleh Imam al-Ghazali dan juga Syeikh Abdul Qadir al-Jailani. Begitu juga dalam kepimpinan Muhammad al-Fatih yang menakluk Konstantinopel terdapat tokoh ulama iaitu Syeikh Aag Syamsuddin sebagai penasihat kepada Muhamad al-Fatih.

Menyorot kembali peranan Syeikh Aag Syamsuddin yang merupakan guru dan penasihat kepada Muhammad al-Fatih yang telah berjaya menakluk Konstantinopel pada tahun 1435 Hijrah. Berkat bimbingan Syeikh Aag Syamsuddin, Muhammad al-Fatih mempunyai akhlak mulia, iman yang kuat serta mempunyai semangat juang yang tinggi sekali gus mampu mengetuai seluruh tenteranya menakluk Konstantinopel dalam usia 25 tahun.

Sesungguhnya peranan tokoh ulama Syeikh Aag Syamsuddin amat besar sekali. Ini disebabkan beliau turut  ke medan perang mengiringi sultan yang menjadi panglima perang mengetuai anggota tenteranya. Nasihat dan pandangan dari aspek spiritual telah menambahkan lagi semangat dan daya juang tentera di medan perang.

Syeikh Aag Syamsuddin seorang ulama tasawuf yang berasal dari negeri Syam, telah berjaya mendidik peribadi Muhammad al-Fatih menjadi sultan yang berilmu, cerdik, berani, beriman, berdaya kepimpinan serta bertakwa kepada Allah. Perlu ditegaskan Syeikh Aag Syamsuddin sentiasa mendampingi sultan untuk memberi nasihat, bimbingan, ilmu dan juga bimbingan spiritual di samping contoh teladan yang baik berdasarkan, ilmu, akhlak dan amalannya. Nama penuh Syeikh Aag Syamsuddin ialah Muhammad bin Hamzah al-Dimasqi al-Rumi.

Dilahirkan di kota Damaskus, Syam pada tahun 792 Hijrah bersamaan tahun 1389 Masihi. Keturunan dari segi nasabnya adalah bersabung dari keturunan Abu bakar as-Siddiq. Pada usia tujuh tahun telah hafal al-Quran dan seterusnya belajar dan merantau ke Turki. Syeikh Aag Syamsuddin telah membimbing Muhammad al-Fatih sejak dari kecilnya khususnya dalam ilmu al-Quran, al-hadis, fikah, bahasa Arab dan akhlak. Syeikh Aag Syamsuddin telah berjaya meyakinkan Muhammad Al-Fatih bahawa dialah yang ‘ramal’ oleh Rasulullah individu yang akan menakluk Konstantinopel.

Apabila Muhammad al-Fatih dilantik sebagai sultan bagi menggantikan ayahnya, Syeikh Aag Syamsuddin sentiasa menasihatkan Muhamad al-Fatih agar segera bertindak untuk merealisasikan maksud dari Hadis Rasulullah SAW, bahawa Konstantinopel akan ditakluki oleh pemimpin yang adil lagi baik serta tentera Islam yang terbaik. Perlu ditegaskan bahawa kota Konstantinopel adalah kota yang paling penting pada waktu itu, telah didirikan pada tahun 330 Masihi oleh Kerajaan Rom dan menjadi kota negara dan jajahan takluk raja Kristian berabad-abad lamanya. Konstantinopel menjadi tarikan dunia dan ada yang menyatakan bahawa: “Andai kata dunia ini berbentuk kerajaan, maka Konstantinopel adalah menjadi ibu negerinya”. Berhubung dengan kota Konstantinopel ini, Rasulullah SAW pernah bersabda yang memberikan khabar gembira  bahawa satu hari nanti kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Ini berdasarkan hadis Nabi yang bermaksud, “Konstantinopel akan ditakluki di tangan seorang lelaki. Maka yang memerintah itu adalah sebaik-baik pemimpin dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera”.

Berdasarkan hadis tersebut, khalifah Islam yang sebelum zaman Muhammad al-Fatih telah pun berusaha untuk menakluk Konstantinopel ini. Berdasarkan catatan sejarah dalam zaman pemerintahan Umaiyyah khususnya pada zaman Sultan Sulaiman bin Abdul Malik, terdapat juga usaha untuk menakluk Konstantinopel tetapi gagal. Begitu juga pada zaman pemerintahan Abbasiyah, khususnya pada zaman pemerintah Khalifah Harun al-Rasyid yang telah berusaha menakluk Konstantinopel pada tahun 190 Hijrah, tetapi juga gagal.

Pada zaman Muhammad al-Fatih, Konstantinopel baru berjaya ditakluki, setelah berusaha beberapa kali. Usaha untuk menakluk Konstantinopel oleh Muhammad al-Fatih pada peringkat awalnya gagal tetapi diteruskan dengan nasihat dan kata-kata semangat oleh Syeikh Aag Syamsuddin yang sentiasa mendampingi sultan. Usaha tersebut berjalan selama 54 hari dengan menggunakan teknik dan strategi yang hebat dan sukar digambarkan oleh pihak tentera yang menguasai kota Konstantinopel dalam tempoh tersebut ramai dalam kalangan tentera yang terkorban dan para tentera Muhammad al-Fath hampir berputus asa tetapi sebagai penasihat sultan, Syeikh Aag Syamsuddin terus meyakini Muhammad al-Fatih tentang hadis nabi dan agar terus direalisasikan oleh Sultan Muhammad al-Fatih.

Dalam suasana persiapan untuk menghadapi peperangan, Syeikh Aag Syamsuddin berada di khemahnya dan bermunajat kepada Allah. Muhammad al-Fatih telah masuk ke dalam khemah gurunya itu dan Muhammad al-Fatih melihat gurunya, Syeikh Aag Syamsuddin sedang bermunajat kepada Allah. Syeikh Aag Syamsuddin bersujud dalam tempoh masa yang lama, serbannya yang panjang terlepas dari ikatannya dan menampakkan rambut yang putih menyentuh bumi. Janggutnya juga putih, seolah-olah memancarkan cahaya. Gurunya bangkit dari sujud dengan air mata yang berlinangan di pipinya. Syeikh Aag Syamsuddin berdoa kepada Allah agar kemenangan dikurniakan kepada Muhammad al-Fatih dan penaklukan kota Konstantinopel dapat terlaksana dalam masa yang singkat.

Sebelum berlakunya serangan Syeikh Aag Syamsuddin telah berjumpa dengan Muhamamd al-Fatih dengan memberikan nasihat  dan peringatan tentang adab-adab peperangan serta hak-hak kaum yang ditakluki sebagaimana mengikut syariat Islam, dan selanjutnya Syeikh Aag Syamsuddin menyampaikan ucapan kepada anggota tentera dengan antara lain ucapannya, “ Wahai tentera Islam, ketahuilah dan ingatlah bahawa nabi Muhammad Salallahualaihi wassalam pernah bersabda,  Konstantinopel akan ditakluki di tangan seorang lelaki. Maka yang memerintah itu adalah sebaik-baik pemimpin dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera”. Kita memohon kepada Allah yang Maha Suci Maha Agung semoga Allah memberikan taufik dan keampunan kepada kita semua. Ketahuilah bahawa, janganlah kamu semua berlaku berlebih-lebihan dari apa yang kamu dapat dari harta rampasan perang dan janganlah kamu berlaku boros. Infakkan harta di jalan baik untuk penduduk kota ini. Dengarlah apa yang dikatakan oleh Sultan kamu dan taatlah dia dan cintailah dia. “Wahai sultanku, kau telah menjadi tanda bagi bangsa Uthmani, maka jadilah engkau sebagai mujahid di jalan Allah selamanya”.

Selepas itu, serangan pun bermula dan tepat pada jam 1 pagi 29 Mei 1435 benteng kota Konstantinopel yang kuat dan utuh itu berjaya ditembusi oleh tentera Muhammad al-Fatih. Ternyata sumbangan dan peranan ulama Syeikh Aag Syamsuddin dalam konteks peperangan telah terbukti dan menggambarkan pentingnya tokoh ulama bersama umara dan kepimpinan untuk memacu negara. – MAJALAH DAKWAH

 

Leftenan Kolonel Dr Burhanuddin Jalal ialah Profesor Madya di Jabatan Kenegaraan, Kepemimpinan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Kuala Lumpur.

 

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *