IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan agar solat Jumaat dan fardu di masjid dan surau dalam zon hijau dan kuning di Perak dibenarkan mengikut had kapasiti ruang utama dewan solat bermula hari ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, titah dibuat selepas menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak serta Jabatan Agama Islam Perak dan mengambil kira pandangan dan maklum balas terkini daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Bagi zon kuning dan zon hijau, Solat Jumaat dan solat fardu lima waktu dibenarkan dengan bilangan jemaah yang dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat di masjid, surau dan surau diri Jumaat.
“Ia berasaskan had kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan mengambil kira Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menetapkan jarak satu meter di antara jemaah,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada 17 November.
Shahrul Azam berkata, semua aktiviti keagamaan seperti ceramah, kuliah pengajian antara Maghrib dan Isyak serta selepas solat Subuh, kuliah Dhuha, bacaan Yasin, tahlil doa selamat dan sebagainya dibenarkan.
“Pelaksanaan solat fardhu lima waktu yang dilaksanakan secara berjemaah dan aktiviti keagamaan di seluruh masjid, surau diri Jumaat dan surau dalam negeri ini juga dibuka kepada muslimah di ruang khas yang disediakan.
“Penggunaan masjid, surau diri Jumaat dan surau untuk ibadah solat dan aktiviti keagamaan hendaklah mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur yang ditetapkan oleh MKN dan KKM,” katanya.
Menurutnya, kehadiran menunaikan solat Jumaat pada masa ini hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia.
“Identiti jemaah yang datang untuk bersolat hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Jawatankuasa Kariah atau pegawai masjid hendaklah memberikan peringatan dan penerangan ringkas kepada jemaah untuk mematuhi garis panduan sebelum solat Jumaat, solat berjemaah pada setiap solat fardu dan aktiviti keagamaan yang dimulakan.
“Jabatan Agama Islam Perak akan mengemaskini status zon di negeri Perak dari semasa ke semasa berdasarkan ketetapan oleh MKN dan KKM bagi mengeluarkan satu garis panduan dan kaedah pelaksanaan solat Jumaat dan solat berjemaah pada setiap solat fardu kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid dan surau di negeri ini.
“Arahan dan ketetapan ini hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga dikeluarkan apa-apa arahan baharu daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk),”katanya. – Harian Metro
KOMEN