KUALA LUMPUR – Seluruh penyokong pasukan bola sepak kebangsaan dinasihatkan untuk berakhlak baik apabila Malaysia menjadi tuan rumah pada perlawanan seterusnya bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengingatkan, ketinggian akhlak yang ditampilkan itu nanti dapat mencerminkan ketinggian mentaliti rakyat negara ini yang berkelas tinggi dunia.
“Di kesempatan ini juga ingin kami gunakan untuk menyeru seluruh penyokong Harimau Malaya untuk tampil dengan akhlak yang baik saat kita sebagai tuan rumah melayan penyokong pasukan pelawat nanti.
“Ketinggian akhlak kita cerminan ketinggian mentaliti rakyat berkelas tinggi dunia, contohilah akhlak dan kebesaran jiwa baginda Rasulullah SAW. Semoga ukhwah Islamiyah kita akan terus subur, insya-Allah,” katanya menerusi artikel bertajuk “Qalam Mufti #45: Tahniah Harimau Malaya” yang disiarkan dalam laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Sementara tambah beliau, kemenangan ke atas Indonesia dalam aksi sulung semalam diharap dapat meningkatkan semangat para pemain kebangsaan bagi aksi seterusnya menentang pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Selasa depan.
“Semoga langkah kanan skuad Harimau Malaya ini dapat menjadi bekal semangat berterusan bagi terus memperagakan aksi yang terbaik memenangi perlawanan menentang UAE pada 10 September 2019 nanti dan juga perlawanan-perlawanan yang seterusnya,” katanya. – Utusan Malaysia.
KOMEN