Home » Analitis » Penjernihan budaya meraikan Syawal

Penjernihan budaya meraikan Syawal

sumber

Hari ini sudah masuk hari ke-6 kita merayakan Aidilfitri. Sememangnya Hari Raya Aidilfitri adalah salah satu daripada syiar-syiar agama Allah yang dirayakan sebagai satu manifestasi ketakwaan kita pada Allah.

Firman Allah: “Demikianlah (ajaran Allah), dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu merupakan satu daripada kesan sifat-sifat ketakwaan hati orang yang beriman”. Surah al-Hajj ayat 32.

Ketakwaan yang terzahir melalui ibadah sepanjang Ramadhan tentulah harus dijadikan bekalan bagi meneruskan kehidupan dalam bulan-bulan seterusnya sebelum kita bertemu kembali Ramadhan pada tahun hadapan. Ini jugalah yang ditegaskan Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 197:  “..Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah, dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah takwa, dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang berakal”.

Walau bagaimanapun, dalam kita seronok dan galak merayakan Aidilfitri ini, jangan sesekali kita mensia-siakan pula segala amalan baik yang dilakukan sepanjang Ramadhan dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang hanya mengundang kemurkaan Allah.

Sudah menjadi satu budaya dan tradisi masyarakat kita di Malaysia khususnya merayakan Aidilfitri selama sebulan juga.

Sambutan ‘rumah terbuka’ umpamanya sudah cukup sinonim dengan masyarakat Malaysia, bahkan hanya unik di negara ini. Namun dalam suasana raya yang dipenuhi dengan pelbagai aneka juadah, jangan sesekali kita melupakan prinsip qanaah atau bersederhana dalam sambutan agar tidak mengundang pula kemurkaan Allah. Ini diisyaratkan dalam Surah al-Isra’ ayat 26 dan 27: “Dan berikanlah kepada kaum kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan hak mereka masing-masing, dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros dan melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”.

Sering kali masyarakat dicelarukan dengan suatu persepsi seolah-olah hari raya perlu dirayakan dengan membeli pakaian baharu atau kelengkapan rumah yang baharu. Hinggakan wang gaji yang diawalkan setiap kali menjelang hari raya begitu pantas dihabiskan kerana hendak memenuhi nafsu kepada pembelian serba-serbi yang baharu.

Walhal dalam Islam, yang dituntut bukanlah yang baharu tetapi pakaian terbaik yang dimiliki. Dalam hal ini, pepatah Arab ada menyebut: “Bukanlah hari itu bagi orang yang hanya memakai pakaian baharu, tetapi sesungguhnya hari raya itu adalah bagi sesiapa yang bertambah ketaatannya”.

Selain kecelaruan persepsi akan makna perayaan dengan segala kelengkapan baharu, aspek hiburan juga kadangkala melampaui batas sehinggakan ada yang secara sinis berseloka menggambarkan pesta menyambut pembebasan ‘syaitan yang terlepas’.

Salah satu amalan umat Islam di Malaysia ini juga adalah amalan menziarahi kubur nenek-moyang di pagi raya. Perbuatan tersebut hukumnya adalah makruh kerana hari raya adalah hari kemenangan dan kegembiraan serta bukannya hari untuk bersedih dan mengingati pemergian mereka yang telah tiada. Namun, sesetengah ulama mengharuskannya jika hanya pada ketika hari raya sahaja peluang yang ada untuk mereka menziarahi kubur.

Fenomena gajet dengan pelbagai perisian telefon pintar masa kini juga dilihat semakin membudaya dalam masyarakat hari ini. Sehinggakan kemeriahan hari raya seperti kunjung-mengunjungi, bermaaf-maafan, dan mengeratkan silaturahim sesama umat Islam menjadi semakin hambar lantaran sibuk dengan telefon pintar masing-masing.

Budaya sebegini jika tidak dibendung bakal membangunkan generasi mendatang yang semakin hilang akal budi dan nilai manusiawi sehinggakan menjadi manusia yang diistilahkan high tech but low touch atau masyarakat yang semakin mati rasa dengan kecanggihan teknologi.

Justeru, penjernihan budaya menyambut Hari Raya Aidilfitri perlu agar masyarakat kembali kepada makna sambutan yang sebenar sebagaimana aturan Ilahi. Sesungguhnya kejayaan melalui madrasah tarbiah dan rohiyyah Ramadhan tidak harus disia-siakan dengan keghairahan sambutan yang melampaui batas hingga hilangnya nilai ketakwaan yang dicanai selama sebulan.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *