Home » Langit Terbuka » Penjelasan TH pengiraan hibah

Penjelasan TH pengiraan hibah

KUALA LUMPUR 9 Feb. – Lembaga Tabung Haji (TH) tidak mengubah kaedah pengiraan hibah atau bonus kepada pendepositnya seperti didakwa pihak tertentu.

TH memaklumkan pengiraan hibah bagi tahun kewangan 2017 adalah berdasarkan baki purata minimum bulanan, iaitu kaedah sama digunakan bagi mengira hibah untuk tahun terdahulu.

Katanya, pendeposit boleh menyemak pengkreditan hibah TH 2017 bermula Isnin ini di kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat.

“Semakan baki simpanan juga boleh dilakukan di ATM dan portal internet bank rakan strategik iaitu Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank Islamik (Maybank2U), serta Portal Internet TH (THiJARI) dan aplikasi mobile (THiJARI),” kata kenyataan itu, hari ini.

Isu berhubung perubahan pengiraan hibah dibangkitkan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk A Kadir Jasin, dalam blognya, semalam.

Beliau mendakwa pengiraan hibah bagi tahun kewangan 2017 adalah berbeza dengan 2016, menyebabkan berlaku penurunan kadar pulangan diterima pendeposit, sekali gus meminta penjelasan TH.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, mengumumkan agihan hibah kepada pendeposit TH sebanyak 4.5 peratus dan tambahan hibah haji 1.75 peratus kepada mereka yang belum pernah menunaikan haji bagi tahun kewangan 2017.

Kenyataan TH itu turut menyertakan formula pengiraan hibah tahunan, iaitu baki purata minimum bulanan (Januari-Disember 2017 / 12) x 4.5 peratus.

Sebagai contoh, individu dengan wang deposit sebanyak RM1,000 yang menyimpan RM100 setiap bulan bermula Januari hingga Disember 2017, akan memiliki baki purata minimum bulanan kira-kira RM1,733.33, menjadikan hibah diperoleh sebanyak RM78.

Pengiraan bagi hibah haji pula adalah baki purata minimum bulanan (Januari-Disember 2017 /12) x 1.75 peratus, namun tertakluk kepada jumlah maksimum RM9,980. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *