Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) ingin menjelaskan beberapa isu yang ditimbulkan oleh YB Pokok Sena terhadap YADIM ketika membahaskan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) di Dewan Rakyat pada hari Isnin 4 Oktober 2021 bersamaan 27 Safar 1443H yang lalu.
PEMINDAHAN WANG DARI YADIM KEPADA LEMBARAN YADIM SDN. BHD.
Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM yang bersidang pada 12 November 2020 telah bersetuju dengan pelan pelaburan jangka sederhana YADIM bagi meningkatkan dana dan pendapatan YADIM yang antaranya adalah melibatkan suntikan modal sebanyak RM500 ribu dan pinjaman mudah sebanyak RM500 ribu kepada Lembaran YADIM Sdn. Bhd. (LYSB) yang dimiliki sepenuhnya oleh YADIM.
Ini bagi memulihkan kembali kedudukan kewangan anak syarikat yang telah mencatatkan kerugian terkumpul sejak kepimpinan YADIM sebelum ini dan sekaligus memberi modal kepada anak syarikat tersebut untuk melaksanakan pelan perniagaan baharu yang ingin diceburi iaitu peruncitan melalui pembukaan YADIM Mart dan perdagangan (trading) selain bidang perniagaan sedia ada iaitu pengurusan aset hartanah sejak pemilikannya oleh YADIM pada tahun 2010 lagi.
Alhamdulillah tindakan ini sudah mula menampakkan hasil dengan pemulihan kedudukan kewangan anak syarikat tersebut.
USAHASAMA YADIM/ LYSB DAN NURFLIX.
Berhubung soal penyaluran peruntukan YADIM /LYSB kepada Nurflix, sehingga hari ini tiada sebarang penyaluran peruntukan dilakukan kepada syarikat tersebut dan kedua-dua pihak sedang memuktamadkan terma perjanjian sebelum YADIM melalui proksi anak syarikatnya membeli 10% kepentingan saham dalam syarikat ini yang akan meletakkan YADIM dalam kedudukan strategik untuk meneroka ruang baru dakwah melalui bidang hiburan dan pendidikan Islamik dalam arus perdana melalui teknologi penstriman yang mempunyai sasaran dakwah yang lebih luas.
RUMAH INAP/RUMAH TAMU YADIM
Berkaitan isu rumah inap/rumah tamu, rumah tersebut telah disewa oleh YDP YADIM sejak Disember 2020 dan bayaran sewaan bulanan telah dibayar sendiri oleh beliau.
Nilai perabot RM22 ribu seperti yang ditimbulkan juga adalah tidak benar kerana perabot yang digunakan diambil dari perabot-perabot yang tidak digunakan di YADIM dan kelengkapan asas oleh Lembaran YADIM Sdn. Bhd.
Perkara-perkara yang disebutkan ini telah mendapat semakan oleh pihak Audit Luar bagi laporan kewangan YADIM tahun 2020 dan mendapati bahawa langkah yang diambil oleh YADIM adalah wajar dan mematuhi tatacara yang sewajarnya.
Sebagai sebuah Yayasan milik Kerajaan, YADIM mengalu-alukan keprihatinan setiap lapisan masyarakat terhadap perjalanan operasi dan tatakelola Yayasan ini.
Dalam masa yang sama, YADIM percaya bahawa menjadi tanggungjawab semua untuk menyemak kesahihan dan kebenaran sesuatu yang ditimbulkan. YADIM sentiasa komited terhadap aspek integriti yang menjadi teras kepada ajaran Islam dan keutamaan Kerajaan pada masa ini.
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF YADIM
TUAN KAMARUL ARIEF BIN TUAN SOH
Â
KOMEN