SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan penjawat awam di negeri itu supaya tidak lalai dan malas sehingga menyebabkan projek-projek pembangunan di Selangor tergendala atau berdepan masalah.
Baginda turut menasihati mereka agar melakukan anjakan paradigma dalam setiap tugasan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
“Beta mahu kerenah birokrasi dan peraturan yang menyusahkan dalam urusan-urusan kerajaan dikurangkan segera. Perlu ada ‘sense of urgency‘ dan bertindak segera dalam memastikan perkhidmatan berkaitan rakyat diselesaikan dengan pantas dan sempurna.
“Beta amat bimbang sekiranya sikap dan kebiasaan sebegini masih ada dalam pemikiran penjawat awam, rakyat Beta yang akan terus menanggung akibatnya. Beta akan terus memantau dan memerhati tindak-tanduk para penjawat awam dan kualiti perkhidmatan awam di Selangor ini,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Sultan Selangor turut menyeru agar semua pihak membuat persediaan dalam menghadapi cabaran perubahan iklim seperti musim kemarau.
“Tahap kesedaran terhadap penggunaan air secara berhemah masih berada pada tahap yang rendah hingga menyebabkan kadar penggunaan domestik yang tinggi, dianggarkan 215 liter seorang sehari.
Oleh itu, Beta menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama menggunakan air harian secara cermat dan berhemah bagi menyumbang kepada peningkatan simpanan air semasa,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut berkenan menzahirkan ucapan tahniah kepada pentadbiran Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari di atas pencapaian Prestasi Kewangan Kerajaan Negeri bagi 2023.
“Rizab Kerajaan Beta melalui Kumpulan Wang Disatukan merekodkan angka berjumlah RM3.5 bilion, kutipan hasil Negeri pada 2023, melebihi sasaran iaitu sebanyak RM2.7 bilion. Beta berharap prestasi kewangan ini dapat ditingkatkan dan Selangor akan terus kekal menjadi penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbesar untuk Malaysia,” titah baginda.
Sultan Selangor juga berharap segala perancangan yang telah digariskan di dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dapat dilaksanakan mengikut masa yang telah ditetapkan, terutama berkaitan program kebajikan dan kesejahteraan rakyat, projek-projek berimpak tinggi khususnya pembangunan wilayah ekonomi baharu, inisiatif hasil ekonomi baharu serta mewujudkan suasana mesra pelabur di Selangor.
“Beta mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Beta melalui Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) dan Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) seluruh Negeri Selangor membangunkan Sistem e-Tanah Negeri Selangor yang dilancarkan pada Oktober 2023.
“Penambahbaikan sistem tadbir urus tanah yang telus akan dapat memberikan impak positif yang signifikan kepada semua pihak berkepentingan yang terlibat. Aspek digitalisasi akan membantu dalam proses semakan, perancangan dan juga pemantauan di mana ia boleh dibuat secara lebih pantas, berkala dan teratur,” titahnya.
Titah baginda lagi, persidangan mesyuarat DUN Selangor itu seharusnya menjadi contoh terbaik kepada rakyat di luar sana, dengan semua perbahasan mestilah berlangsung penuh integriti serta bertanggungjawab dan bukan menjadi medan menabur fitnah, membesar-besarkan isu sensitif serta berita palsu.
Sidang DUN Selangor dijadualkan berlangsung selama dua minggu bermula esok.–AlHijrah Online
KOMEN