Home » Analitis » Penjagaan kesihatan dituntut agama

Penjagaan kesihatan dituntut agama

Dalam konteks penjagaan kesihatan, antara aspek penting yang diunjurkan oleh al-Quran dan sunah Rasulullah s.a.w. dimulai dengan meletakkan prinsip pencegahan lebih baik daripada pengubatan.

Islam menetapkan tujuan pokok kehadirannya untuk memelihara agama, jiwa, akal, kesihatan dan harta benda umat manusia. Manusia yang sihat ialah manusia yang sejahtera serta seimbang jasmani dan rohaninya dan sentiasa aktif.

Dengan kesihatan, manusia dapat meningkatkan kualiti hidupnya semaksimum yang mungkin dan dapat meningkatkan pengabdiannya kepada Allah s.w.t. serta sesama manusia.

Agama amat menekankan kepentingan penjagaan kesihatan serta pencegahan sesuatu penyakit. Malah kita diberikan petunjuk oleh Rasulullah s.a.w., supaya apabila ditimpa sesuatu penyakit, kita hendaklah segera mengubatinya kerana Allah tidak menurunkan penyakit kecuali diturunkan pula ubatnya.

Dalam usaha mengekalkan dan menjaga kesihatan, ia bukan hanya dilihat sebagai urusan perseorangan atau keluarga tetapi yang ditekankan juga ialah kepentingan pencegahan penyakit.

Justeru dalam konteks penjagaan kesihatan, antara aspek penting yang diunjurkan oleh al-Quran dan sunah Rasulullah s.a.w. dimulai dengan meletakkan prinsip pencegahan lebih baik daripada pengubatan. Di samping itu manusia yang menjaga kebersihan amat dicintai oleh Allah s.w.t. kerana ia akan menjurus kepada kesihatan fizikal.

Sesungguhnya Allah s.w.t. senang kepada manusia yang bertaubat dan senang kepada orang yang membersihkan diri. (Surah al-Baqarah: 22)

Dalam kandungan al-Quran surah al-Muddafstsir ayat 4 hingga 5 juga menyaran kita membersihkan pakaian dan meninggalkan segala macam kekotoran. Ini dikuatkan lagi dengan satu hadis yang amat kukuh mengenai kebersihan. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Kebersihan adalah sebahagian dari iman.

Beberapa contoh pencegahan serta pengamalan menyarankan agar kita menutupi hidangan, mencuci tangan sebelum makan, memberus gigi, larangan bernafas ketika minum, tidak membuang air di tempat yang tidak mengalir atau di bawah pohon. Terdapat banyak contoh dan praktik yang dituntut agama dalam konteks menjaga kesihatan.

Bahkan sebelum dunia mengenal erti perkataan kuarantin, Rasulullah s.a.w. terlebih dulu menetapkan cara pencegahan atau menghindari wabak penyakit dalam sabdanya yang bermaksud:

Apabila kamu mendengar adanya wabak di suatu daerah, janganlah mengunjungi daerah tersebut, tetapi apabila kamu berada di daerah itu, janganlah meninggalkannya.

Dari sudut yang lain pula, penyakit dikaitkan dengan pemakanan, jenis, mahupun dari segi kadarnya. Malah terdapat beberapa peringatan bahawa perut merupakan sumber utama penyebab penyakit. Inilah yang perlu dikawal kerana tanpa pengawalannya boleh mendatangkan kemudaratan kepada sistem badan manusia.

Dalam al-Quran juga telah diberi peringatan. Makan dan minumlah, dan jangan berlebih-lebihan. Allah s.w.t. tidak senang kepada orang yang berlebih-lebihan. (Surah al-Araf :31)

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah memberi peringatan yang jelas mengenai konsep kesederhanaan yang menyangkut dengan makanan seperti yang terkandung dalam hadisnya yang bermaksud: Tidak ada sesuatu yang dipenuhkan oleh putera-puteri Adam lebih buruk daripada perut. Cukuplah bagi putera Adam beberapa suap yang dapat menegakkan tubuhnya, kalaupun harus dipenuhkan, maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga lagi untuk minumannya, dan sepertiga lagi untuk pernafasannya. (Riwayat at-Tarmizi)

Para ulama juga sering mengaitkan penyakit dengan seksaan Allah s.w.t. Seksaan dalam pengertian untuk mendidik dan memberi kesedaran bahawa setiap penyakit lahiriah itu akibat pelanggaran terhadap hukum-hukum alam.

Hukum alam daripada beberapa aspek membuktikan bahawa makanan yang kotor akan mendatangkan penyakit. Seseorang yang menjamah makanan kotor pada hakikatnya telah melanggar perintah Allah s.w.t. Inilah yang merupakan seksaan-Nya di dunia maka ia harus dihindari.

Di sini kita diberi pengertian bahawa Islam memerintahkan agar kita berubat ketika saat ditimpa penyakit. Berubatlah, kerana tiada satu pun penyakit yang diturunkan Allah s.w.t. kecuali diturunkan pula ubat penangkalnya, selain dari satu penyakit iaitu ketuaan. (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi) – ABABIL

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *