Home » Analitis » Pengkhianat dilaknat agama, masyarakat

Pengkhianat dilaknat agama, masyarakat

Sesebuah negara boleh melucutkan kerakyatan kepada seseorang yang dianggap sebagai ‘pengkhianat’ jika orang berkenaan tidak bersedia untuk dihadapkan tindakan mahkamah. Kebiasaannya, mereka melarikan diri ke negara tertentu untuk mendapatkan perlindungan sementara ataupun kekal sebagai ‘suaka’.

Ada juga atas alasan tertentu, mereka sendiri sedia melucutkan taraf kewarganegaraan asalnya kerana ingin mendapat kerakyatan negara lain, terutamanya negara yang dilihatnya mampu memberikan keuntungan material ataupun psikologi. Mereka tetap boleh dianggap sebagai ‘pengkhianat negara’ tetapi tahap pengkhianatannya tidaklah sedarjat dengan mereka yang benar-benar mengkhianati negaranya sendiri tetapi tidak sanggup mengambil keputusan sukarela melucutkan kerakyatan asal.

Kita pernah mendengar ada desakan agar kerajaan melucutkan kerakyatan kepada seseorang yang dilihat sentiasa memburuk-burukkan pemimpin yang berkuasa kerana percaya selagi kuasa tidak dikawal oleh individu berkaitan, kerajaan yang memerintah bersikap zalim. Pendirian tersebut menjadi semakin kasar dan kesat apabila turut mengkreatifkan dakwaan ‘zalim’ atau ‘tidak adil’ sebagai tindakan diskriminasi bagi mengekalkan kuasa.

Wilayah pengaruhnya bukan setakat menggunakan pentas-pentas politik dalam negara, bahkan menggunakan pelbagai platform antarabangsa mengutuk dan mencipta propaganda bagi mendapat sokongan asing. Bahkan, ada ketikanya sanggup mengemis sumber kewangan daripada pertubuhan-pertubuhan tertentu demi kelangsungan matlamatnya bagi membiayai program-program dakyah dalam negeri.

Dalam sejarah Islam tercatat pengkhianatan berlaku pada peringkat awal penyebaran Islam. Ubay bin Ka’ab menjadi ‘pelakonnya’ dengan mengkhianati pasukan Islam dalam Perang Uhud sehingga kemenangan yang sudah di depan mata akhirnya sirna. Akibat perbuatan khianat yang dilakukan satu orang, jutaan orang akan menanggung derita dan kegagalan yang diakibatkan oleh perbuatan khianat.

Perbuatan khianat juga memercikkan implikasi kepada dua dimensi kehidupan iaitu dimensi spiritual dan dimensi sosial. Perbuatan khianat dalam dimensi spiritual menyerlahkan sikap melanggar dan menentang ketentuan Allah dan Rasul-Nya. Orang yang berbuat khianat, sama ertinya dengan mengkhianati Allah dan Rasul. Hal ini ditegaskan Allah dalam firmannya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu sedangkan kamu mengetahui” (Al Anfal 27).

Selain menanggung dosa, perbuatan khianat juga menimbulkan bahaya kepada struktur masyarakat. Kesan yang timbul antara lain, memudaratkan dan menghancurkan tata nilai dan pegangan yang dianut masyarakat, mencetuskan permusuhan dan perbalahan yang tiada berkesudahan antara pengkhianat dan orang yang dikhianati dan menimbulkan sikap curiga mencurigai di kalangan masyarakat.

Golongan ‘pengkhianat’ ini sanggup menggadaikan maruah dan kehormatan diri serta agama kerana mahukan kedudukan politik yang lebih baik. Sejarah mengajar manusia bagaimana golongan atau individu yang berusaha mencapai matlamatnya secara tidak jujur ini telah mengkhianati bangsa, agama dan negaranya sendiri. Golongan ini menjadi ‘duri dalam daging’ dan berusaha sehabis tenaga walaupun sedar tindakan yang diambil itu adalah paling tidak beretika.ABABIL

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *