MANAMA (Bahrain), 6 Dis. – Kalangan penggiat perbankan Islam global Islamik perlu lebih peka atau sensitif terhadap risiko berikutan ketidaktentuan persekitaran ekonomi semasa.
Ketika membuat peringatan itu, Gabenor Bank Pusat Bahrain, Rasheed Mohammed Al Maraj juga menggesa mereka memastikan amalan pengurusan risiko perbankan Islam sentiasa dikemaskini, meningkatkan tahap kesedaran yang tinggi serta melaksanakan pengurangan risiko berkaitan.
“Bank-bank (Islam) ini perlu sentiasa mempertingkat kekerapan ujian berkaitan tekanan agar dapat memahami kelemahan selain sentiasa bersedia menghadapi senario terburuk akibat ketidaktentuan ekonomi semasa.
“Namun, perlu diingatkan bahawa sensitif terhadap risiko itu tidak semestinya bermakna mengelaknya sama sekali. Sebaliknya, ia lebih kepada usaha memastikan kita sentiasa berwaspada terhadap pelbagai jenis risiko yang harus dan tidak perlu diambil,” katanya pada Persidangan Tahunan Perbankan Islam Dunia Ke-23 (WICB 2016) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Al Maraj berkata faktor lain yang boleh menjejaskan bank-bank Islam berbanding perbankan konvensional adalah aspek saiznya yang lebih kecil.
Ini katanya, cabaran persekitaran perniagaan memerlukan peningkatan tumpuan terhadap usaha penggabungan dan pengambilalihan bagi mengekalkan skala operasi secara optimum.
“Memandangkan perbankan Islam yang berteraskan pegangan agama, adalah penting bagi bank-bank Islam mengamalkan rangka kerja tadbir urus Syariah yang cemerlang,” katanya.
Malah, menurut Al Maraj, Bank Pusat Bahrain itu baru-baru ini mengumumkan pelaksanaan peraturan baharu bagi mempertingkatkan amalan Syariah, termasuk aspek perlindungan tambahan dan pematuhan Syariah.
Menurutnya, kalangan ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan bank-bank Islam turut bertanggungjawab mematuhi peraturan serta semangat Syariah bagi mewujudkan reputasi perbankan yang beretika. – Bernama
KOMEN