Home » Langit Terbuka » Pengganas Christchurch mengaku tidak bersalah

Pengganas Christchurch mengaku tidak bersalah

Perbicaraan kes pengganas kulit putih, Brenton Tarrant bakal bermula 5 Mei tahun depan. - Foto BBC

CHRISTCHURCH – Suspek utama insiden tembakan di dua buah masjid di New Zealand, mengaku tidak bersalah atas tuduhan keganasan dan membunuh 51 jemaah, pada Mac lalu.

Warga Australia yang melabelkan dirinya sebagai pelampau kulit putih itu berdepan 51 tuduhan membunuh, 40 cubaan membunuh dan jenayah keganasan di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood pada 15 Mac lalu.

Suspek, Brenton Tarrant yang diwakili peguamnya, Shane Tait di Mahkamah Tinggi Christchurch, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu.

Kes membabitkan pertuduhan keganasan adalah kali pertama dibicarakan di New Zealand.

Hakim Mahkamah Tinggi, Cameron Mander berkata, perbicaraan kes itu akan bermula pada 4 Mei tahun depan.

“Mahkamah berusaha untuk membawa kes-kes jenayah serius untuk dibicarakan dalam tempoh satu tahun selepas penangkapan. Skala dan kerumitan kes ini adalah mencabar,” kata Mander.

Tarrant direman sehingga 16 Ogos sebaik sahaja pendengaran kes dijadualkan.

Pada pendengaran terakhir pada 5 April lalu, mahkamah telah memerintahkan Tarrant untuk menjalani penilaian kesihatan mental bagi menentukan sama ada dia layak untuk dibicarakan.

Dalam kejadian itu, umat Islam yang mahu mengerjakan solat Jumaat di Masjid Al-Noor, Hagley Park dan Masjid Linwood, New Zealand dilaporkan ditembak secara rambang sehingga menyebabkan 51 orang terbunuh.

Tarrant, dengan sengaja berkongsi video secara langsung ketika dia melepaskan tembakan rambang ke arah jemaah solat Jumaat menerusi Facebook, selepas memuat naik pautan 73 halaman manifesto di laman web 8chan. – BBC

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *