Home » Langit Terbuka » Pengawal Masjid Putrajaya belajar 7 bahasa untuk mudahkan komunikasi dengan pelancong

Pengawal Masjid Putrajaya belajar 7 bahasa untuk mudahkan komunikasi dengan pelancong

Khairul memberitahu, halangan untuk menguasai bahasa asing bukanlah disebabkan kesukaran bahasa itu, tetapi ia terpulang atas individu itu sendiri, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih

PUTRAJAYA –Ketika mula mula bertugas sebagai pengawal Masjid Putrajaya kira kira 15 bulan yang lalu, Khairul hanya tahu bercakap menggunakan dialek Kelantan sahaja.

Dia kemudiannya sedar keadaan itu merugikannya selain menyukarkannya berkomunikasi dengan pengunjung di masjid ikon yang menjadi tumpuan pelancong itu. Justeru, pemuda ini kemudiannya nekad memperbaiki penguasaan bahasanya.

Menurut akhbar SinChew, Khairul bertugas dalam shift selama 12 jam sehari, malah lebih lama pada hari hari tertentu, namun ia tidak menghalangnya daripada belajar bahasa selepas selesai bertugas.

Khairul memberitahu, halangan untuk menguasai bahasa asing bukanlah disebabkan kesukaran bahasa itu, tetapi ia terpulang atas individu itu sendiri, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Katanya lagi, menyedari dia sukar bergaul dan berkomunikasi apabila hanya tahu bercakap dialek Kelantan, dia kemudiannya mempelajari bahasa Melayu dan tiga bulan kemudian, dia boleh bertutur dengan lebih baik.

Khairul tidak berhenti di situ sahaja, bagi memudahkannya berkomunikasi dengan pelancong, dia kemudiannya bertekad mempelajari bahasa Mandarin, Vietnam, Korea, Jepun, Thai, Parsi dan Inggeris.

“Masjid ini sering dikunjungi pelancong, jadi kita kena memahami bahasa mereka, kerana tidak semuanya boleh berbahasa Inggeris, jadi untuk kemudahan mereka, kita perlu belajar bahasa yang mereka tuturkan,” jelas Khairul.

Oleh kerana dia tidak menghadiri kelas secara formal, dia sering ‘belajar’ dari para pengunjung dan pemandu pelancong. Setiap kali mereka membetulkan sebutannya, Khairul akan mencatatkannya di buku notanya untuk mengingati sebutan dan intonasinya.

“Saya juga ambil inisiatif bertanya kepada pengunjung asing dan para pemandu pelancong, mereka tiada masalah untuk betulkan dan ajar saya, “ tambahnya.

Bagi membiasakan dirinya, setiap kali mempelajari bahasa baru, Khairul memberitahu dia akan bertutur dalam bahasa tersebut selama seminggu, bermula dengan sebutan dan frasa pendek, sebelum beralih ke ayat penuh.

Menurut Khairul, para pelancong lebih faham dan akur dengan panduan atau arahannya jika dia bercakap dalam bahasa mereka.

“Pelancong yang tidak mematuhi tatacara atau kod berpakaian akan diminta untuk memakai jubbah yang disediakan masjid ,” jelasnya.

Pemuda ini yang sudah boleh bertutur secara ringkas dalam bahasa Mandarin, kini dengan mudah boleh memberi maklumat kepada para pelancong terutamanya tentang waktu operasi masjid dan Solat Jumaat. – SinChew

 

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *