Home » Wacana » Pengaruh media terhadap pemikiran dan jiwa umat Islam

Pengaruh media terhadap pemikiran dan jiwa umat Islam

sumber

Oleh: Dr Saodah Abd Rahman

Media memainkan peranan penting bagi menyebarkan maklumat sama ada berunsurkan negatif atau positif. Kemajuan teknologi telekomunikasi menjadikan manusia merasai bahawa dunia ini adalah kecil dan tanpa sempadan. Pada zaman dahulu manusia sukar untuk mendapat maklumat dan menghubungi antara satu sama lain terutama apabila berada dalam sempadan yang berbeza. Maklumat dan bahan-bahan bacaan hanyalah bergantung kepada media seperti akhbar, majalah dan buku-buku. Oleh itu, pengaruh ideologi dan budaya asing sukar untuk menyerap dalam pemikiran dan jiwa masyarakat Islam ketika itu.

Dalam era globalisasi, media merupakan ejen yang paling berpengaruh untuk menyebarkan ideologi, ilmu pengetahuan, perniagaan dan budaya. Maklumat yang didapati melalui media elektronik adalah terlalu pantas dan aktif di mana ia memudahkan setiap individu yang memilikinya mendapat maklumat dan sebagainya. Masyarakat Islam akan mendapat faedah dan kebaikan jika mereka menggunakan media elektronik sebagai cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, perniagaan dan menyebarkan ajaran Islam dan budaya yang murni. Persoalannya ialah sejauh manakah umat Islam menjadikan media elektronik sebagai alat untuk faedah diri, masyarakat dan negara?

Masyarakat Islam sepatutnya memahami bahawa kemajuan telekomunikasi bukan sahaja boleh memberi kebaikan malah ia juga akan memberi kesan yang buruk kepada umat Islam jika bahan media yang sering dibaca dan didedahkan itu mempunyai unsur-unsur negatif terhadap perkembangan pemikiran dan jiwa. Manusia yang tinggal dalam negara yang maju dan membangun mudah terdedah dengan pelbagai maklumat melalui media elektronik. Mereka merasai bahawa masyarakat dunia berada dalam satu negara yang terlalu hampir di antara satu sama lain.

Kemudahan telekomunikasi memberi peluang kepada ahli perniagaan mempromosikan bahan-bahan perniagaan mereka melalui media elektronik dengan pelbagai iklan dan sebagainya. Iklan yang sering dipertontonkan oleh media sering menarik perhatian masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa. Bagi umat Islam, tidak kesemua bahan yang diiklan itu sesuai untuk umat Islam tetapi ramai golongan remaja amat tertarik terhadap bahan iklan tersebut. Contohnya, pakaian yang mendedahkan tubuh badan bukan sahaja digemari oleh umat bukan Islam malah ia juga menjadi ikutan remaja Islam.

Perkembangan fesyen di Barat amat pantas meresap masuk ke dalam dunia Islam walaupun negara tersebut mengamalkan sistem yang paling konservatif. Arab Saudi contohnya, merupakan negara yang paling konservatif tetapi elemen-elemen Barat sudah meresapi negara tersebut di mana pelbagai filem Barat yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab sudah menjadi bahan tontonan umum masyarakatnya di rumah. Berhampiran dengan Masjid Madinah, terdapat gedung pakaian menjual pakaian wanita yang sama fesyennya dengan gedung pakaian di London.

Gaya hias wajah dan fesyen pakaian Barat menjadi ikutan remaja Islam kerana pada pemikiran mereka setiap perkembangan gaya hias wajah dan fesyen daripada Barat adalah sofistikated walaupun realitinya adalah janggal dan menjolok mata. Ini menunjukkan bahawa peranan media amat mempengaruhi pemikiran dan jiwa umat Islam.

Ideologi sekular Barat pantas menular dalam dunia Islam apabila media elektronik menjadi bahan utama untuk menyampaikan maklumat. Laman web lesbian, gay, bisexual begitu aktif menyebarkan ideologi tersebut dengan memaparkan adegan-adegan seks yang diamalkan oleh mereka.

Umat Islam terutamanya remaja yang sering melayari laman web tersebut mempunyai kemungkinan besar akan dipengaruhi oleh ideologi dan corak hidup golongan tersebut. Apabila mereka terjebak dalam kancah ini, mereka akan menyebarkan ideologi dan kegiatan tersebut kepada rakan-rakan melalui mobile phone, facebook dan seumpamanya.

Ajaran sesat walaupun diharamkan oleh kerajaan negara Islam tetapi pengaruh ajaran tersebut begitu aktif menular dalam dunia Islam. Kemajuan telekomunikasi memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada mereka menyebarkan ajaran sesat. Mereka begitu kreatif dan aktif membicarakan tentang ajaran mereka dalam media elektronik dan berjaya mempengaruhi umat Islam di luar sempadan negara mereka. Begitu juga dengan pergerakan radikal Islam. Pelbagai tulisan berkaitan politik, ideologi fanatik dipaparkan dalam media elektronik dengan tujuan untuk mempengaruhi umat Islam seluruh dunia bergabung dengan mereka bagi membentuk sistem khalifah yang dimusnahkan oleh kuasa Barat.

Umat Islam yang kurang pendedahan terhadap ilmu Islam mudah terpengaruh dengan dakyah dan konsep jihad yang dilaungkan dan diamalkan oleh mereka tanpa melihat kepada realiti kehidupan umat Islam dan konteks ajaran Islam yang sebenarnya.

Pergerakan missionary Kristian yang radikal menggunakan media elektronik untuk mempengaruhi masyarakat bukan Kristian menganut agama mereka. Mereka cuba mencari rakan-rakan seramai mungkin melalui facebook dan mengadakan pelbagai aktiviti yang boleh menarik rakan facebook menyertai program mereka. Sikap ramah dan mesra mereka mudah mempengaruhi rakan-rakan facebook menyertai aktiviti agama dalam bentuk kegiatan sosial.

Remaja Islam yang tidak mempunyai ilmu Islam kurang menyedari muslihat pendakwah Kristian tersebut. Jika mereka sering mengikuti aktiviti dan program tersebut kemungkinan mereka boleh menukar agama. Pendakwah Kristian berjaya menarik individu-individu Islam menganut agama mereka walaupun mereka tidak pernah memasuki negara Islam kerana facebook, emel, skype, myspace dan seumpamanya memberi peluang kepada mereka menghubungi umat Islam secara rapat dan mesra.

Bagi menangkis pelbagai rintangan dan cabaran terhadap umat Islam melalui media, maka umat Islam sepatutnya memainkan peranan penting menyebar ajaran Islam dan mencabar ideologi songsang melalui media secara lebih aktif dan kreatif. Pengarah filem sepatutnya menerbitkan pelbagai filem yang berunsur nilai keagamaan dan akhlak Islam supaya masyarakat dunia dapat memahami ajaran Islam.

Ibu bapa perlu mengawasi anak-anak supaya mereka tidak bebas membuka laman web lucah dan boleh merosakkan akhlak. Pelbagai program keagamaan perlu disiarkan dalam media elektronik supaya golongan remaja dan kanak-kanak dapat memperolehi maklumat yang sihat.

Sarjana Islam sepatutnya berhujah secara berhemah apabila mereka mendapati terdapat laman web yang mencemarkan maruah Islam dan menggambarkan Islam secara negatif.

Ceramah agama melalui televisyen dan radio sepatutnya lebih fokus kepada pendidikan kerohanian masyarakat dan menjelaskan sesuatu isu secara lebih berkesan. Pendakwah Islam perlu mementingkan etika berbicara apabila mereka diminta menjelaskan sesuatu aspek berkaitan ilmu wahyu. Sikap gemar berceloteh dan bergurau kadang kala boleh menjejaskan kewibawaan penceramah sebagai pendidik masyarakat. Akhlak Islam sepatutnya dijadikan panduan apabila berhadapan dengan penonton kerana pendakwah Islam tidak boleh disamakan dengan artis.

Pelbagai program kanak-kanak yang berunsurkan ajaran Islam perlu ditambah dan dipergiatkan lagi seperti menambahkan lagi filem-filem kartun yang membicarakan kisah pahlawan Islam, kasih sayang terhadap haiwan dan manusia supaya jiwa dan pemikiran mereka tersemat dengan nilai-nilai yang murni.

Berdasarkan kepada perkembangan kemajuan telekomunikasi maka umat Islam keseluruhannya perlu bekerjasama untuk membanteras setiap ideologi dan unsur-unsur negatif dalam media. Kerjasama membanteras gejala ini boleh dianggap sebagai nahi munkar (mencegah kemungkaran /kejahatan) seperti digalakkan oleh Islam. Melalui kerjasama dalam bidang ini maka umat Islam akan menjadi satu umat yang kuat dan terbaik.

Sumber daripada Majalah Dakwah terbitan Yadim

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *