Home » Wacana » Pengajaran Kisah Lelaki Berpakaian Wanita Di Makkah

Pengajaran Kisah Lelaki Berpakaian Wanita Di Makkah

Makkah dan Madinah merupakan tanah haram yang suci bagi umat Islam. Dua tempat ini pernah disebut nabi sebagai tempat yang dicintai baginda. Berkata  Aisyah RA, rasul SAW bersabda : `ya Allah berilah kecintaan kepada kami Kota Madinah sebagaimana kecintaan kami kepada kota Mekkah`. Lihatlah betapa sayang dan cintanya nabi terhadap dua kota ini. Sebagai umat Islam kita juga perlu menjaga kesucian kota ini.

 Tempat yang suci ini tidak selayaknya bagi kita mencemarkan dengan perbuatan dosa. Apatah lagi perbuatan itu dipamerkan kepada umum sehingga menimbulkan fitnah kepada diri dan agama. Manusia melakukan dosa diseluruh pelusuk dunia.

Tidak terkecuali di tanah suci, disebabkan kejahilan dan kealpaan manusia terus melakukan dosa. Segelintir yang menipu di tanah haram dengan pakej umrah tertentu, segelintir yang mengambil selipar orang lain apabila seliparnya hilang, segelintir yang memaki-hamun jemaah lain apabila dilanggar ketika tawaf. Semua ini dosa dan perlu kepada taubat.

Sehari dua ini hangat diperkatakan mengenai individu yang melakukan kesalahan di Makkah yang dianggap bersalahan dengan undang-undang malah bertentangan dengan ajaran agama Islam. Walaubagaimanapun, artikal ini berlepas tangan daripada sebarang sangkaan buruk melainkan hanya mengambil beberapa pengajaran daripada peristiwa yang berlaku. Semoga beberapa pengajaran ini boleh menjadikan kita insan yang terpuji dan berubah ke arah yang lebih baik.

Jangan Menunjukkan Dosa Yang Dilakukan Dikhalayak Umum.

Rahmat yang Allah berikan kepada kita sangat luas. Antaranya Allah SWT menutup keaiban dan dosa yang kita lakukan. Jika Allah pamerkan segala dosa dan kesalahan kita kepada umum sudah pasti kita sendiri tidak mampu berhadapan dengan masayrakat kerana malu atas yang kita lakukan. Oleh yang demikian, sepatutnya kita perlu berhati-hati dan tidak terlalu gelojoh untuk menyebarkan sesuatu yang aib bagi diri kita. Tindakan kita meletakkan sesuatu yang aib bagi kita di media sosial akan menyebabkan pelbagai persepsi wujud dan akhirnya kita sendiri membuka ruang fitnah terhadap diri.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA: “Rasulullah SAW bersabda; setiap pengikutku akan diampunkan kecuali orang yang mendedahkan kesalahan mereka. Contohnya adalah orang yang melakukan dosa pada malam yang Allah SWT menutupi baginya, sedangkan pada waktu pagi, dia akan berkata (kepada orang lain): “Saya melakukan dosa itu dan dosa tadi malam tadi, sedangkan Allah SWT menyimpan rahsia itu. Pada waktu malam Allah SWT menutupinya, tetapi pada waktu pagi ia mengoyakkan sampul yang disediakan oleh Allah sendiri. (HR Bukhari dan Muslim).

Jangan Bangga Dengan Dosa Yang Kita Lakukan

      Seseorang yang melakukan dosa sepatutnya malu dengan perbuatan tersebut. Tindakan merasa bangga atas dosa yang dilakukan malah menganggap Allah tidak menurunkan azab sebagai tanda redha ialah salah sama sekali. Setiap perbuatan dosa akan dihukum oleh Allah kecuali orang yang bertaubat. Jika Allah tidak hukum di dunia jangan pernah kita lupa adanya alam yang kekal abadi iaitu akhirat untuk mengadili setiap perbuatan kita.

        Allah tidak hukum kita di dunia secara terus seperti umat terdahulu merupakan suatu rahmat buat kita. Sepatutnya kita syukur dan terus bertaubat kerana Allah masih sayang akan kita dan memberi peluang untuk bertaubat sebelum dihukum atau diazab. Adakah kita ingin Allah turunkan azab secara terus seperti umat terdahulu baru kita insaf? Umat terdahulu pernah dihukum menjadi kera secara terus setelah melanggar suruhan Allah. Adakah kita ingin begitu baru ingin bertaubat? Selagi ada ruang dan masa bertaubatlah jangan bertangguh lagi.

Jangan Menyebarkan Aib Seseorang

Sebagai seorang Islam kita memang akan terasa apabila ada pihak yang mempermainkan agama. Namun kita juga perlu berhati-hati dalam menzahirkan pendapat mahupun respon terhadap sesuatu perkara. Kebencian kita biarlah kepada kelakuan dan perbuatan yang menyalahi agama jangan sesekali kita membenci orang tersebut. Sebaliknya doakanlah agar si pelaku mendapat hidayah Allah. Kita juga dilarang meneybarkan aib seseorang apatah lagi mengungkit segala kisah silam seseorang dan menceritakan keburukannya kepada umum.

Dalam satu hadis riwayat Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aib hamba yang pertama tadi pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Imam Muslim -2590 dalam sahih-nya)

Daripada Ibn Umar R.anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi – 2032).

Daripada hadith ini kita perlu sedar kita juga mempunyai kekurangan dan dosa. Kita juga tidak suka keaiban kita disebarkan oleh masyarakat. Maka sewajarnya kita saling menjaga keaiban masing-masing dalam waktu yang sama berusaha memberbaiki diri agar menjadi muslim yang soleh dan musleh.

Bertaubatlah Atas Dosa Yang Dilakukan

Setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesalahan. Apa yang penting ialah kita bertaubat daripada dosa yang kita lakukan. Nabi SAW pernah bersabda, “Setiap anak Adam (yakni manusia) pasti melakukan kesalahan, sedangkan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat”. HR: al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 2499 (Kitab Sifat Kiamat).

Taubat ialah cara untuk kita memohon keampunan kepada Allah atas dosa yang dilakukan. Mengaku akan kesalahan kita, membenci akan perbuatan tersebut dan berazam agar tidak melakukannya lagi. Selagi matahari masih terbit dari timur selagi itu pintu taubat Allah terbuka untuk kita. Mengadulah kepada Allah sesungguhnya Allah tempat kita berserah dan memohon pertolongan. Perbanyakkan istigfar dan peliharalah solat kita. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa kita.

Tegurlah Dengan Hikmah

Islam mengajak penganutnya untuk saling membantu dalam perkara kebaikan dan mencegah kemungkaran seperti firman Allah “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya” (al-Maidah 5:2].

Dalam kita ingin menegur saudara mara kita yang melakukan kesilapan kita juga perlu tahu adab dan cara yang betul. Kerisauan kita ialah dengan teguran kita menyebabkan mereka lebih jauh daripada agama Islam. Sebaliknya kita berharap, teguran kita akan melembutkan hatinya untuk berubah. Firman Allah dalam Al-Quran “Serulah ke jalan Tuhanmu Wahai Nabi Muhammad dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik”. (Al-Nahl ayat 125).

 Ayat ini menerangkan kepada kita tatacara menegur seseorang. Ketegasan itu boleh namun jangan sampai memaki-hamun, mengherdik dengan perkataan yang buruk malah sehingga menjatuhkan hukum syurga atau neraka. Semua itu terlalu berlebihan dan kelihatan tidak hikmah. Takut-takut niat kita ingin menegur akhirnya menjadi dosa kepada diri kita kerana tidak beradab.

Semoga dengan empat pengajaran ini dapat memelihara diri kita daripada melakukan kesalahan dan dosa yang dimurkai Allah. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmah disebaliknya. Sebagai umat Islam kita teruskan misi dakwah kita kepada masyarakat. Mengajak ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Kukuhkan tali persaudaraan Islam kita jangan sampai kita saling membenci kerana amarah. Kita wajar membenci kepada perbuatan yang keji tetapi kita perlu menyanyai saudara Islam kita dan pinpinlah tangannya ke jalan yang diredhoi Allah. 

Mohamad Zaiful Faizal Mohamad Hasan ialah peserta dan pemenang Kategori Penulisan Kreatif, program Daie Muda YADIM 2019.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *