KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad sekali lagi mengulas tentang perlawanan bola sepak.
Dalam perkongsian beliau di Facebook, Zulkifli menyifatkan kemenangan Brazil ke atas Argentina dalam saingan Copa America 2019 sebagai satu wadah untuk menyebarkan motivasi berasaskan nilai Islam.
Jelas beliau, kemenangan Brazil kelmarin adalah hasil kerjasama erat antara para pemain negara itu untuk mencapai kemenangan.
Beliau turut memetik kisah bagaimana tewasnya tentera Islam apabila tidak berkerjasama dalam Perang Uhud.
“Bilangan pasukan memanah di Bukit Uhud tidak sampai 10 peratus jumlah keselurhan tentera Islam ketika itu namun kesan ketidaksepakatan telah menyebabkan kesan yang besar kepada tentera Islam,” tulisnya.
Apa yang menarik dalam pengisian Zulkifli juga memberi analogi tentang gawang dan penjaga gol.
Beliau menggambarkan gawang sebagai iman manusia sementara penjaga gol pula adalah diri kita sendiri yang perlu menjaganya setangkas Alisson Becker ketika menjadi kubu terakhir Brazil.
“Ketangkasan Alisson Becker mengawal gol menyukarkan pasukan Argentina. Iman adalah benteng kita, dengan lemahnya iman mudahlah syaitan dan nafsu untuk menguasai diri,” katanya.
Zulkifli sering mencuri tumpuan peminat bola sepak di negara kita apabila kerap memberikan pengisian berasaskan bola sepak.
Sebelum ini, beliau menjadikan kisah Mohamed Salah dan Sadio Mane sebagai contoh kepada para pengikut media sosialnya – MalaysiaGazette
KOMEN