ANKARA – Kesatuan Eropah (EU) mengulangi pendiriannya bahawa penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki adalah tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan kesatuan itu.
“Pendirian Kesatuan Eropah berhubung dasar penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki adalah jelas dan kekal tidak berubah; semua aktiviti penempatan adalah tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa dan menghakis kebolehjayaan penyelesaian dua negara serta prospek bagi keamanan yang berkekalan seperti yang ditegaskan oleh Resolusi 2334 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR),” menurut ketua dasar luar EU, Federica Mogherini dalam satu kenyataan.
Mogherini berkata, oleh itu, EU menggesa Israel agar menghentikan semua aktiviti penempatan selaras dengan obligasinya sebagai pihak yang menduduki.
Katanya, EU akan terus menyokong penyelesaian dua negara, satu-satunya cara yang realistik dan berdaya maju bagi memenuhi aspirasi sah kedua-dua pihak.
Kenyataan itu menyusuli pengumuman Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo pada Isnin bahawa penempatan Israel di Tebing Barat tidak lagi dilihat sebagai tidak sah.
Menteri Luar Jordan Ayman Safadi turut menyokong pandangan EU di Twitter.
“Penempatan di wilayah Palestin yang diduduki adalah satu pelanggaran jelas di bawah undang-undang antarabangsa dan UNSCR. Ia adalah satu tindakan tidak sah yang membunuh penyelesaian dua negara. Pendirian Jordan yang mengutuk tindakan itu adalah tidak berubah. Kami memberi amaran akan kesan berbahaya yang mungkin timbul susulan perubahan pendirian AS berhubung penempatan yang membabitkan MEPP,” katanya merujuk kepada proses damai Timur Tengah.
Kira-kira 650,000 Yahudi Israel kini menetap di lebih 100 penempatan yang dibina sejak 1967 ketika Israel menduduki Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Rakyat Palestin menginginkan kesemua wilayah ini yang terletak di sepanjang Semenanjung Gaza untuk mewujudkan negara Palestin pada masa akan datang.
Undang-undang antarabangsa menganggap Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sebagai wilayah yang diduduki dan menyifatkan semua aktiviti pembinaan penempatan Yahudi di kawasan itu sebagai tidak sah. – Bernama
KOMEN