COLOMBO: Sekumpulan samseng menyerang restoran dimiliki penduduk Islam di Sri Lanka hari ini dalam kes berunsurkan jenayah benci, kata polis, ketika ketegangan kekal tinggi di seluruh negara itu susulan rusuhan ganas selama seminggu.
Restoran di Anamaduwa, kira-kira 130 kilometer ke utara Colombo, menjadi sasaran walaupun polis berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas siri serangan anti-Islam.
Kerajaan mengisytiharkan darurat minggu lalu apabila 11 masjid dibakar dan 200 perniagaan milik penduduk Islam dimusnahkan dalam rusuhan oleh samseng Sinhala yang menyebabkan sekurang-kurangnya tiga maut dan 20 lagi cedera.
Perintah berkurung ditarik balik di daerah Kandy, pusat keganasan, tetapi tentera terus meronda di jalan raya, dilengkapi kuasa menahan orang ramai untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman.
Beberapa rangkaian media sosial termasuk Facebook disekat di seluruh Sri Lanka. Pegawai berkata, ia dilakukan untuk menghalang penyebaran ucapan kebencian terhadap umat Islam.
Pegawai kanan polis berkata, tindakan disiplin akan diambil terhadap pegawai di Anamaduwa kerana gagal menghalang serangan ke atas restoran itu.
“Kami menganggap ini sebagai jenayah benci. Siasatan dijalankan untuk mengenal pasti pihak bertanggungjawab,” katanya yang enggan dikenali.
Semalam, Presiden Maithripala Sirisena mengumumkan akan melantik panel dianggotai tiga hakim bersara untuk menyiasat ketegangan yang mengundang kebimbangan kumpulan hak dan masyarakat antarabangsa. – AFP
KOMEN