Home » Langit Terbuka » Pendakwaan secara formal terhadap Israel beberapa bulan lagi

Pendakwaan secara formal terhadap Israel beberapa bulan lagi

My Aqsa berkata, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengakui menerima pelbagai bukti mengenai kekejaman Israel, bukan saja berkaitan pencerobohan di wilayah Palestin, tetapi pembunuhan, pengusiran dan tindakan biadab terhadap penduduk Palestin. - Foto Desiring God.com

PUTRAJAYA – Yayasan MyAQSA (MyAQSA) memaklumkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda memerlukan beberapa bulan lagi sebelum dapat melakukan pendakwaan secara formal terhadap Israel.

Ketua Pasukan Peguam Penyiasat yang juga Felo Undang-Undang MyAQSA, Azril Mohd Amin, berkata jaminan itu diberikan ICC kepada delegasi MyAQSA menerusi pertemuan pada 2 Mei lalu di The Hague, Belanda.

Beliau berkata, selepas perbincangan mendalam dilakukan, ICC memberi gambaran analisis dan penyiasatan mereka terhadap kes ini sudah sampai pada peringkat akhir.

“Pada 2 Mei lalu berlangsung sesi pertemuan penting antara delegasi MyAqsa dengan wakil pelbagai bahagian di ICC The Hague, Belanda. Ini termasuk masing-masing wakil daripada Bahagian Sokongan Guaman, Kerjasama Antarabangsa dan Analisis Situasi, Pejabat Ketua Pendakwa Raya (OTP) ICC.

“Mereka (ICC) juga memberi gambaran tempohnya hanya tinggal beberapa bulan saja lagi sebelum penyiasatan dapat diselesaikan dan pendakwaan secara formal dibuat terhadap Israel. Pada masa sama, ICC menggariskan beberapa langkah yang pihak MyAQSA dapat Iakukan untuk membantu pihak mereka menyempurnakan penyiasatan dan pendakwaan terhadap Israel nanti,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Azril berkata, walaupun pada awalnya ICC mengakui asas hujah MyAQSA adalah menyakinkan, namun MyAQSA tidak berpuas hati dengan kelewatan penyiasatan dijalankan ICC untuk memastikan pendakwaan dapat dilakukan secara rasmi.

Beliau berkata, pihak ICC sendiri mengakui menerima pelbagai bukti mengenai kekejaman Israel, bukan saja berkaitan pencerobohan di wilayah Palestin, tetapi pembunuhan, pengusiran dan tindakan biadab terhadap penduduk Palestin.

“Tempoh empat tahun selepas Palestin menyertai Statut Rom sejak 1 April 2015 adalah memadai untuk melihat tindakan berkesan ICC menyelesaikan penyiasatan dan memulakan pendakwaan terhadap Israel secara formal.

“Hal ini sangat menghairankan kerana sebagai sebuah institusi keadilan antarabangsa, ICC sepatutnya menunjukkan contoh ke hadapan dalam proses mencari keadilan sejagat.

“Pihak MyAQSA berpandangan kelewatan ICC ini diakibatkan bukan saja birokrasi dalaman ICC, tetapi juga tekanan pihak tertentu yang tidak mahu kebenaran didedahkan mengenai nasib sebenar rakyat Palestin yang ditindas,” katanya.

Katanya, MyAQSA akan meningkatkan kerjasama erat dengan pihak berkuasa Palestin khususnya melalui kedutaan Palestin di Malaysia, selain melobi melalui pertubuhan antarabangsa untuk memastikan proses pendakwaan terhadap Israel dapat dilaksanakan secara berkesan.

Sementara itu, Azril berkata, pihaknya menyeru masyarakat antarabangsa mahupun tempatan bersama-sama membuat desakan dan memberi tekanan supaya Israel benar-benar dapat dibawa ke muka pengadilan.

“MyAQSA berharap segala inisiatif diusahakan ini akan memberi impak sewajarya supaya kezaliman dan kekejaman dilakukan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin dapat diadili melalui segala peruntukan perundangan yang ada.

“Apa yang penting, Palestin dan rakyatnya perlu diberikan hak wujud dengan aman dan adil, manakala Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa perlu kekal menjadi milik umat Islam tanpa sebarang gangguan dan campur tangan Israel,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *