Home » Langit Terbuka » Pencerobohan Masjid Al-Aqsa: Israel ingin ubah ‘status quo’ Baitulmaqdis

Pencerobohan Masjid Al-Aqsa: Israel ingin ubah ‘status quo’ Baitulmaqdis

Rejim Zionis tidak pernah menghormati sebarang keputusan yang dibuat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang meminta mereka menghormati tatus quo' Baitulmaqdis - Foto Arkib

Kuala Lumpur – Tindakan rejim Israel yang mencetuskan pelbagai siri keganasan terhadap penduduk Palestin adalah bersandarkan beberapa objektif utama iaitu untuk menukar ‘status quo’ Baitulmaqdis.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Iris Institute, Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim, tindakan itu adalah bagi memastikan Baitulmaqdis tidak lagi berada di bawah naungan umat Islam.

“Mereka mengambil kesempatan ini sememangnya untuk mencari sebab melagakan dan mencucuk orang-orang Yahudi, paling ekstrem.

“Sebenarnya mereka ingin mengubah ‘status quo’ Baitulmaqdis, ‘status quo’ Masjid Al-Aqsa, supaya tidak lagi berada di bawah naungan dan penjagaan orang-orang Islam.

“Jadi, itu objektif utama yang mereka ingin capai melalui apa yang dilakukan ini,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.

Jelas beliau lagi, melalui beberapa siri keganasan seperti yang berlaku baru-baru ini, rejim Israel dapat memastikan matlamat untuk mengubah demografi Baitulmaqdis itu tercapai.

Ujarnya, apa yang dilakukan oleh rejim Israel bukan sahaja mengusir umat Islam yang sedang beribadah di rumah suci itu, malah melakukan serangan keganasan terhadap insan yang tidak bersalah.

“Rejim Zionis tidak pernah menghormati sebarang keputusan yang dibuat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang meminta mereka menghormati tatus quo’ Baitulmaqdis.

“Ini termasuk gesaan unilateral yang dibuat PBB agar semua bangsa, agama dapat berada di situ dengan aman.

“Jadi, mereka ingin mengubah demografi dan populasi Baitulmaqdis supaya tempat suci ini bebas dan tidak diduduki langsung oleh orang Islam, yang merupakan penduduk asal, yang sememangnya berhak mendiami tanah itu sejak turun-temurun,” tegasnya lagi.

Menurut Syed Ahmad lagi, adalah penting untuk seluruh masyarakat dunia bersolidariti bersama penduduk Palestin dalam menentang kezaliman yang ditunjukkan oleh Israel ini.

Ujarnya, beberapa siri serangan seperti yang berlaku di Sheikh Jarrah misalnya, telah menyaksikan kebangkitan yang datangnya daripada rakyat Palestin sendiri.

Penentangan itu, kata beliau, menunjukkan umat Islam di sana memiliki denyut nadi yang kuat dalam mempertahankan hak mereka.

“Oleh yang demikian, kita perlu sokong dengan bantuan dan doa. Kalau bukan kerana itu, kita yakin sudah lama objektif yang diingini oleh zionis ini berjaya dicapai,” katanya lagi. – Asto Awani

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *