KUALA LUMPUR 6 Okt. – Penahanan Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Dr. Fauziah Mohd. Hasan oleh rejim Zionis semalam sewaktu mengikuti misi kemanusiaan Women Boat to Gaza (WBG) sememangnya sudah dijangka oleh suaminya.
Prof. Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali berkata, kali terakhir beliau berhubung secara terus dengan isterinya itu adalah Sabtu lalu, ketika kapal Zaytouna-Oliva melalui pulau Creed, Greece dan memberitahu dia serta aktivis yang lain berada dalam keadaan baik dan bersemangat untuk meneruskan misi solidariti ke Gaza.
Jelas bekas pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektronik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, sejak itu beliau tidak lagi dapat berhubung dengan Fauziah dan maklumat berkenaan penahanannya diterima daripada MyCARE dan Freedom Flotilla Coalition.
Menurut beliau, semua ahli keluarga sudah diingatkan tentang kemungkinan Fauziah akan ditahan rejim Zionis dan perlu mempersiapkan mental untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan.
“Kami sekeluarga sebelum ini pernah berbincang tentang kemungkinan yang bakal berlaku kepada anggota misi berkenaan. Ini bukan kali pertama Fauziah menyertai misi ke Gaza, sebelum ini dia pernah ke sana pada 2008 dan 2012
“Apa yang penting di sini adalah misi mereka telah berjaya membuka mata dunia bahawa sekatan yang dilakukan oleh Israel terhadap Gaza merupakan satu tindakan salah dan perlu dihentikan dengan segera,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, anak sulung pasangan berkenaan, Shamil, 31, berkata, dia agak tersentak apabila mengetahui ibunya ditahan rejim Zionis sebelum bermuhasabah diri dan menyerahkan segalanya kepada Allah SWT.
Katanya, dia berada dalam keadaan sangat risau terutama apabila kapal Zaytouna-Oliva berada dalam kedudukan 100 batu nautika dari Gaza dan kerap mencari maklumat terkini berkenaan keselamatan mereka di Internet.
“Saya berserah kepada Allah SWT semoga ibu bersama yang lain tidak diapa-apakan dan berharap mereka akan dibebaskan secepat mungkin,” ujarnya
KOMEN