BRUSSELS –BELGIUM 14 Mac- Beberapa pemimpin Kesatuan Eropah (EU) dengan lantang mengkritik Turki di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat selepas Ankara cuba mengadakan perhimpunan di rantau tersebut.
Terdahulu, Presiden Recep Tayyip Erdogan menuduh Jerman dan Belanda bersikap ‘Nazisme’ selepas rancangan perhimpunan disekat di kedua-dua negara itu.
Perdana Menteri, Mark Rutte di Amsterdam menyifatkan tuduhan itu sebagai ‘tidak boleh diterima’ manakala Menteri Luar di Berlin berharap Turki akan kembali berfikir dengan waras tentang isu tersebut.
Sementara itu, pemimpin Denmark turut memutuskan menangguhkan mesyuarat dirancang bersama Erdogan.
Perdana Menteri, Lars Lokke Rasmussen di Copenhagen berkata, beliau bimbang ‘prinsip demokrasi berada di bawah tekanan besar’ di Turki dan keputusan penangguhan itu atas tindakan perang mulut yang dilancarkan Ankara.
Difahamkan, perhimpunan tersebut bertujuan meraih sokongan rakyat Turki yang tinggal di Eropah untuk mengundi ‘ya’ dalam referendum bertujuan untuk meluaskan kuasa presiden.
Namun, rancangan terbabit disekat di Jerman, Austria dan Belanda atas faktor keselamatan.
Perhimpunan di Perancis bagaimanapun tidak menerima sebarang bantahan selepas kerajaan melihat ia tidak mencetuskan sebarang ancaman. – BBC
KOMEN