PASIR PUTEH 12 Feb. – Pemimpin muda Islam hari ini perlu berusaha menjadi pemimpin masa depan yang bijak lagi bijaksana dalam menangani permasalahan semasa, kata Timbalan Yang DIpertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ustaz Mohd Zaidi Ramli.
Berucap kepada 276 pemimpin muda dari 69 sekolah berasrama penuh Kementerian Pendidikan, beliau berkata, kemampuan bertindak secara bijaksana adalah kualiti yang sangat penting kepada mana-mana pemimpin terutama dalam mengambil satu tindakan terhadap sesuatu permasalahan itu.
“Bertindaklah secara bijaksana apabila anda menjadi pemimpin kerana kesannya sangat berbeza terhadap orang yang anda pimpin itu,’’ katanya ketika menyampaikan ucapan bagi merasmikan penutupan Persidangan Pemimpin Muda Islam Sekolah Berasrama Penuh Peringkat Kebangsaan 2018 di Pasir Puteh pada 11 Februari.
Beliau berkata, bertindak secara bijaksana bermakna seseorang itu dapat meletakkan satu tindakan yang mempunyai kesan negatif paling sedikit berbanding tindakan-tindakan yang lain.
Menurutnya, dalam realiti sebenar, adalahmustahil sesuatu tindakan yang diambil itu dapat memuaskan hati semua pihak dan justeru itu,seseorang pemimpin harus mampu memikirkan satu tindakan bijaksana yang mempunyai impak negatif paling minima.
Katanya, keupayaan membezakan mana yang baik atau buruk tidak mencukupi bagi seseorang pemimpin kerana suasana sebenar adalah lebih kompleks dari itu.
“Saya berharap para pemimpin muda masa depan ini mampu menangani permasalahan dengan bijaksana bersandarkan rasa hati dan justifikasi yang benar,’’ katanya.
Beliau juga berkata, untuk menjadi seorang yang bijaksana, pemimpin Islam perlu memahami tiga perkara asas iaitu Islam, iman dan ihsan bagi menjadikan seseorang itu individu yang seimbang.
“Apa yang terjadi pada masa kini dengan timbulnya isu-isu atheis, LGBT dan sebagainya di kalangan masyarakat Melayu Islam adalah kerana mereka tidak memahami dengan mendalam tiga perkara asas ini,’’ katanya.
Menurutnya, sebagai pemimpin muda Islam, mereka harus memahami bahawa setiap gerakan dakwah tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya tanpa adanya jiwa Islam sebenar.
Beliau berkata, berbeza dengan generasi dahulu yang amat teguh imannya biarpun sekadar mempelajari kitab-kitab kecil sahaja.
Jelasnya, generasi dahulu amat menekankan soal-soal ketuhanan dan rasa kehambaan insan berbanding generasi kini yang lebih banyak membincangkan soal-soal fiqh yang sebenarnya sudah pun diputuskan sebelum ini.
KOMEN