Home » Langit Terbuka » Pemilik syarikat didenda, guna sijil halal tidak diiktiraf Jakim

Pemilik syarikat didenda, guna sijil halal tidak diiktiraf Jakim

Pengarah Syarikat Seribu Rasa Sdn. Bhd. didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas dua pertuduhan memperakukan sijil halal tidak diiktiraf Jakim di dua buah restoran di Nilai - Foto Arkib

SEREMBAN – Tindakan seorang pengarah syarikat menggunakan logo halal luar negara yang tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di dua buah restoran di Nilai memakan diri apabila dia didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim, Mohd. Sabri Ismail membuat keputusan itu selepas A. Nadaraja, 59, yang juga Pengarah Syarikat Seribu Rasa Sdn. Bhd. mengaku bersalah ke atas dua pertuduhan terhadapnya.

Mahkamah turut menetapkan Orang Kena Siasat (OKS) itu dipenjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Nadaraja didakwa telah memperakukan makanan yang diberikan dalam Restoran Giger Noi Thai Kitchen sebagai halal dengan cara yang bertentangan dengan Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Kesalahan itu dilakukan di Restoran Giger Noi Thai Kitchen, Mesamall, Persiaran Ilmu, Bandar Baru Nilai pada pukul 4.50 petang, 20 Oktober 2020.

Bagi pertuduhan kedua, Nadaraja telah melakukan kesalahan sama di Harum Manis, Mesamall, Persiaran Ilmu, Bandar Baru Nilai pada pukul 5.20 petang, 20 Oktober 2020.

 

Sehubungan itu, OKS didakwa di bawah Perenggan 8 (a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan boleh dihukum di bawah Perenggan 8 (a) (A) perintah yang sama.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kee Shu Min.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai penguatkuasa KPDNHEP bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah membuat pemeriksaan di dua restoran terbabit dan mendapati kesemua sijil halal yang dipamerkan dalam restoran itu bukan kepunyaannya. 

Semasa pemeriksaan, pihak berkuasa telah menemui beberapa salinan sijil halal dari luar negara dan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) milik syarikat lain. 

Hasil semakan dilakukan JHEAINS dan Jakim telah mengesahkan syarikat OKS dan restoran tersebut tidak memiliki SPHM dan bukan pemegang SPHM yang sah dalam Negeri Sembilan. -UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *