Home » Citra Yadim » Pembaharuan Majalah Dakwah, temui pembaca Januari 2020

Pembaharuan Majalah Dakwah, temui pembaca Januari 2020

PUTRAJAYA – Industri cetak, khususnya melibatkan majalah hari ini berdepan ancaman sangat besar daripada bahan bacaan berbentuk dalam talian.
Begitu banyak judul majalah hari ini yang telah dihentikan penerbitannya, atau beralih ke medium digital sepenuhnya bagi mengikuti peredaran masa dan kehendak pembaca. Majalah yang masih setia dengan format cetakan tradisional, mahu tidak mahu mesti mengubah dirinya bagi memastikan ia kekal relevan.
Menyedari hakikat ini, majalah Dakwah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bakal ditambah baik dan diberikan penampilan baharu bagi memastikan ianya terus berdaya saing dan kekal menjadi bacaan pilihan ramai, khususnya bagi mereka yang terlibat dalam dunia dakwah.
Mesyuarat Sidang Pengarang baharunya buat kali pertama baru-baru ini antaranya, membincangkan pelbagai isu tentang gaya baharu untuk majalah berkenaan bermula terbitan Januari 2020.
Ianya dipengerusikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Dr Muhammad Razak Idris selain disertai oleh bakal editor perunding terdiri daripada ahli akademik dan mereka yang terlibat dalam industri ini.
Antara pembaharuan dalam majalah pada Januari nanti ialah ia kini bermatlamat menjadi sumber pengetahuan baharu tentang pemikiran, pendekatan, amalan, isu-isu semasa dan pencapaian dakwah di peringkat negara dan antarabangsa.
Ia juga akan menjadi wadah penyebaran maklumat tentang hasil pelaksanaan program dakwah YADIM kepada masyarakat.
Majalah Dakwah juga nanti bermatlamat sebagai wadah galakan penulisan karya-karya dakwah dan pengumpulan bank data karyawan dakwah di dalam dan luar negara, selain bertujuan mempromosi produk-produk dakwah baharu oleh YADIM dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
Menerusi pembaharuan itu nanti, adalah diharap majalah berkenaan boleh menjadi medium interaksi ke arah mewujudkan komuniti pembacanya, menerusi kaedah langganan secara tetap, serta sebagai medium penjanaan dana penerbitan dakwah menerusi tawaran penajaan iklan.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *