LONDON 5 Sept. – Wartawan Channel 4 News, Fatima Manji yang dikritik kerana memakai tudung ketika membaca berita mendakwa menerima kata-kata lucah daripada kanak-kanak berusia 12 tahun baru-baru ini.
Lapor Mail Online, Fatima berkata, kanak-kanak itu mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya ketika dia sedang berjalan pulang dari tempat kerja di tengah London kelmarin.
“Saya menangis. Terlalu banyak kebencian, dia terlalu muda. Perkauman diajar dan dipelajari. Perkara itu mula diajar dan dipelajari dalam skala besar di United Kingdom (UK) sejak zaman kanak-kanak,” jelas Fatima di laman Twitter rasminya.
Berpuluh-puluh pengguna internet menyatakan sokongan terhadapnya, termasuk penulis dan pengulas politik, Harry Leslie Smith.
“Apa yang berlaku terhadapnya sungguh dahsyat. Ini sangat keji,” katanya.
Insiden berkenaan berlaku selepas bekas pengarang akhbar The Sun, Kelvin MacKenzie mempertikaikan sama ada wajar untuk Fatima memakai tudung ketika membaca berita.
Malah, MacKenzie turut menggesa penonton untuk membuat aduan kepada The Office of Communications (Ofcom) berhubung keputusan Channel 4 News membenarkan Fatima memakai tudung. – www.utusan.com.my
KOMEN