Home » Langit Terbuka » Pemantauan halal produk ikan sejak 2010

Pemantauan halal produk ikan sejak 2010

Jabatan Perikanan berkata, pemantauan terhadap produk perikanan dijalankan secara ber­kala bagi mengesan kehadiran asid deoksiribonukleik porsin (seperti babi) ke atas produk perikanan seluruh negara. - Foto DOF

PUTRAJAYA – Jabatan Perikanan senti­asa melaksanakan pemantauan halal terhadap ikan termasuk penghasilan berkaitan produk-produk ikan sejak 2010 lagi.

Jabatan itu dalam kenyataan memaklumkan, pemantauan tersebut dijalankan secara ber­kala bagi mengesan kehadiran asid deoksiribonukleik (DNA) porsin (seperti babi) ke atas produk perikanan seluruh negara.

“Antara produk dianalisis adalah ikan, makanan ikan dan tepung ikan yang dilakukan di makmal Biosekuriti Perikanan di Kuala Lumpur dan Bintawa, Sarawak.

“Hanya 4.9 peratus sampel sahaja yang dikesan positif mengandungi DNA porsin iaitu diambil daripada makanan ikan menerusi pemantauan terhadap 846 sampel sepanjang 2016, 2017 dan 2018,” jelas kenyataan tersebut di sini.

Kenyataan itu mengulas dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berhubung terdapat ikan ternakan yang diberikan makanan berasaskan babi.

Menurut Jabatan Perikanan lagi, Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memutuskan isu halal hanya dihadkan kepada barangan makanan dan kegunaan peribadi.

“Ia tidak dikembangkan ke atas haiwan kerana hukum halal dan larangan haram hanya terpakai kepada manusia.

“Selain itu, satu penyelidikan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Batu Maung mendapati ikan diberikan makanan tidak halal berupaya menyucikan badan mereka 72 jam setelah melalui proses istihala (peng­asingan tidak diberikan makan),” jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan tersebut, Akta Makanan Haiwan 2009 di bawah Peraturan Pelabelan secara jelas mengkehendaki setiap pengeluar makanan ternakan melabelkan kandungan ramuan di dalam makanan ternakan yang dikeluarkan dan tindakan keras akan diambil jika mereka menipu atau gagal berbuat demikian.

Jabatan Perikanan berharap pihak berkaitan tidak membuat dakwaan tanpa disertakan maklumat lebih terperinci kerana ke­sannya mengakibatkan kecelaruan dalam kalangan pengguna dan aktiviti penternakan ikan. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *