BATU KAWAN – “Kerah tulang empat kerat ini selagi mampu bagi memastikan keluarga kami tidak terputus bekalan makanan, bab hutang saya tidak fikir kerana tahu ia akan memudaratkan kesihatan,” jelas seorang pengusaha bas persiaran.
Menurut Mohamad Faeez Yusoff 29, kehidupan dia dan isteri kini bergantung sepenuhnya dengan hasil jualan kuih-kuih di bazar Ramadan Juru di sini.
Kata pemilik bas persiaran itu, dia mula mengusahakan perniagaan tersebut pada tahun 2019 selepas membeli sebuah bas persiaran terpakai, namun semuanya terhenti sepenuhnya pada Mac 2020.
“Sudah lebih setahun iaitu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga kini bas saya tidak berjalan (operasi), malah saya sekadar memanaskan enjin setiap hari untuk memastikan keadaan bas elok.
“Bayangkan saya kena bayar ansuran beli bas berjumlah RM5,500 setiap bulan, kena lakukan pemeriksaan Puspakom walaupun bas tidak beroperasi membuatkan semua wang simpanan habis.
“Sekarang ini saya minta persatuan bincang dengan pihak kredit untuk melanjutkan tempoh bayaran tersebut kerana jika saya fikir hutang bas itu mesti akan memudaratkan kesihatan, sekali gus keluarga akan hilang punca pendapatan yang ada,” katanya.
Mohamad Faeez berkata demikian kepada pemberita selepas menerima bantuan barangan keperluan asas daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini semalam.
Tambah Faeez, isterinya belajar cara membuat kuih menerusi YouTube bagi membolehkan mereka berniaga.
“Awal-awal perniagaan kami jual di tepi jalan sebelum masuk ke bazar Ramadan dan itulah hasil pendapatan,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras YADIM Pulau Pinang, Mohd Afifi Ruslan berkata, pihaknya menerima surat daripada Presiden Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara, Ahmad Ruslanyang memohon bantuan meringankan beban pengusaha dan pemandu bas.
Jelas Mohd Afifi, mereka yang menerima sumbangan hari ini terdiri daripada pemandu dan pengusaha bas persiaran, kilang dan sekolah.
“Kita berikan sumbangan barang keperluan asas kepada 100 orang namun kali ini serahan dibuat kepada 30 orang dahulu susulan PKPB dan orang ramai tidak digalakan berkumpul.
“Sumbangan seterusnya akan diberikan pada 2 dan 5 Mei ini,” kata Mohd Afifi. – MalaysiaGazette
KOMEN