- 15 November 2024
- 13 Jamadilawal 1446H
KUALA LUMPUR : Golongan mualaf atau saudara baharu yang memeluk agama Islam dinasihatkan untuk tidak menjadikan agama ini sebagai ‘alat’ untuk kepentingan peribadi.
Perkara itu ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dalam usaha memastikan kefahaman dan kesucian agama Islam itu tidak dicemari dengan perkara tidak sewajarnya.
Malah, kata beliau, semua saudara baharu wajar berusaha memperbaiki kelemahan diri sebagai seorang Muslim dan terus bertaqwa selain menyebarkan kebaikan Islam kepada semua pihak.
“Memeluk Islam itu bukan satu kesempatan untuk kita mencari kesenangan di dunia dan semata-mata untuk mengejar ganjaran di dunia. Tetapi, rebutlah peluang ini untuk ke arah yang lebih baik.
“Jika mampu, sebar luaskan Islam bukan setakat kepada ahli keluarga, malah kepada komuniti setempat. Belajar dan dalami Islam sebaiknya, mana tahu selepas ini anda semua boleh menjadi pendakwah,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu membimbing tujuh orang saudara baharu melafazkan syahadah di Masjid Negara pada 9 Mei.
Selain itu, Mohd. Na’im menyeru kepada suadara baharu agar tidak menjauhkan diri daripada keluarga dan terus berbakti kepada mereka walaupun berlainan agama.
Ini kerana, katanya, menjaga ukhuwah dan hubungan baik sesama manusia apalagi keluarga yang merupakan darah daging perlu menjadi keutamaan dan dititikberatkan.
“Janganlah anda semua menjauhkan diri dan ‘membuang’ keluarga, kerana walaupun sudah berlainan agama, ikatan kekeluargaan tidak akan putus buat selamanya.
“Teruskan berbakti kepada keluarga dan jika mampu cubalah berkongsi tentang Islam kepada mereka. Teruskan istiqamah dan berjuang dijalan Islam, gunakan kesempatan ini ke jalan diredai Allah.
“Ini prinsip rahmah. Kita kena tunjuk kasih sayang. Bila seseorang itu memeluk Islam, maknanya akhlak mereka harus bertambah baik sekali gus mencuba untuk menjadi manusia lebih baik, ini termasuk menjaga hubungan dengan Tuhan dan juga sesama manusia,”katanya.
Dalam pada itu, Mohd Na’im menasihatkan agar golongan saudara baru berusaha menambah ilmu pengetahuan agama Islam bagi memudahkan urusan ibadah selain kefahaman diri.
Katanya, ia termasuk menerusi usaha untuk mengikuti pelbagai kelas atau majlis ilmu yang disediakan oleh agensi seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).
“Ia harus dilihat sebagai keperluan bagi memudahkan kita untuk melakukan ibadah. Banyak orang lakukan ibadah tanpa ilmu pengetahuan yang betul sedangkan dalam Islam, ia mesti diasaskan pada Al-Quran dan Sunnah.
“Kerajaan juga banyak menyediakan program-program atau kelas agama menerusi agensi ini. Jadi gunakan ruang dan peluang ini untuk hadir meraih pengetahuan lanjut mengenai agama Islam,”katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai majlis pengislaman tujuh saudara baharu di Masjid Negara, kata Mohd Na’im, ia merupakan kali pertama beliau berpeluang berbuat demikian.
“Saya sangat terharu apabila berkesempatan membimbing saudara baharu kita pada hari ini selepas kali terakhir melakukannya ketika melanjutkan pengajian ijazah kedoktoran di London sekitar tahun 1994,”katanya. – Utusan Malaysia