KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menegaskan, memelihara nyawa juga adalah penting ketika ini walaupun umat Islam mahu beribadah pada Ramadan seperti sedia kala.
Katanya, matlamat memelihara agama (hifz al-din) tidak akan tercapai kecuali dengan memelihara nyawa (hifz al-nafs).
Beliau berkata, rakyat sedang memasuki Ramadan dalam era normal baharu, iaitu tidak ada solat fardu berjemaah, solat Jumaat dan solat Tarawih berjemaah di masjid dan surau, selain majlis berbuka serta jamuan moreh dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Alternatifnya, hidupkan ibadah dan tradisi Ramadan kita di rumah. Kita semua hendak beribadah dalam Ramadan sebagaimana sedia kala kerana ia adalah usaha memelihara agama dalam Maqasid al-Syariah. Namun, memelihara nyawa juga adalah penting ketika ini.
“Akhirnya, kita akan dapat satu jawapan. Matlamat ‘hifz al-din’ takkan tercapai kecuali dengan ‘hifz a-nafs’,” katanya.
Zulkifli berkata, apa yang ditekankan adalah solat berjemaah yang dibenar dilakukan di rumah masing-masing.
“Takkan anak ada masa lapang, suami, isteri ada, duduk solat seorang-seorang? Solatlah berjemaah dan kalau boleh ada jarak sedikit. Cuma yang kita jaga konsep jemaah beramai-ramai dalam jumlah yang besar, mungkin akan tersebar wabak itu (COVID-19).
“Natijahnya mungkin tidak akan menyelesaikan (penularan wabak) dan mengambil tempoh lama untuk dipulihkan,” katanya.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu yakin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku dan berkata: “Kita bakal menyambut Ramadan dengan ‘new normal’. Sudah pasti agak sukar pada mulanya untuk membiasakan diri, namun saya yakin ada hikmahnya”.
Kepada petugas barisan hadapan, beliau menasihatkan, puasa adalah wajib, tetapi diharuskan berbuka jika tidak mampu melaksanakannya atau dikhuatiri boleh menjejaskan fokus dan kemampuan merawat pesakit jika ibadat itu diteruskan pada hari berkenaan.
Beliau juga dengan rendah hati memohon rakyat Malaysia supaya mematuhi apa yang ditetapkan pemerintah dan berdoa kepada Allah SWT agar penularan wabak selesai.
“Kita rindukan masjid dan surau dan harap ia akan dapat beroperasi seperti sedia kala selepas ini. Sejujurnya saya mahukan Ramadan yang terbaik untuk umat Islam di Malaysia.
“Saya bersyukur kerana anda semua amat memahami dan bersama-sama saya untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19. Yakinlah, Allah melihat apa yang kita lakukan, mendengar apa yang kita doakan,” katanya. – Berita Harian
KOMEN