Home » Langit Terbuka » Pelantikan Sultan Nazrin terus perkukuh kedudukan MKI menyelaras hal pentadbiran Islam

Pelantikan Sultan Nazrin terus perkukuh kedudukan MKI menyelaras hal pentadbiran Islam

(Gambar fail) Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pelantikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Pengerusi baharu Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), akan terus memperkukuh kedudukan MKI dalam melaksanakan fungsinya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang merafak sembah dan ucapan tahniah kepada Sultan Nazrin berkata, MKI menjalankan fungsi berpandukan Peraturan-Peraturan MKI 2022 dalam menyelaras hal-hal berkaitan pentadbiran agama Islam.

“Seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa berdoa ke hadrat Allah SWT agar diberikan petunjuk serta pedoman kepada Sultan Perak untuk menyempurnakan tanggungjawab sebagai Pengerusi MKI,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Untuk rekod, antara fungsi MKI ialah membincang dan memutuskan perkara-perkara berkaitan aspek pengurusan hal ehwal Islam, perundangan Islam dan pendidikan agama Islam.

Semalam, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, mengumumkan pelantikan Sultan Nazrin sebagai Pengerusi baharu MKI bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 9 Mac 2024 lepas hingga 8 Mac 2026.

Pelantikan itu diputuskan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 bagi menggantikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tamat menjalankan tugas sebagai Pengerusi MKI selama dua tahun sejak 10 Mac 2022.

Peraturan 2(1) Peraturan-Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia 2022 menetapkan Pengerusi MKI hendaklah dipilih dalam kalangan Raja Pemerintah oleh Raja-Raja, dengan memegang jawatan selama tempoh dua tahun dan boleh diperbaharui. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *