SHAH ALAM – Pelan Pemulihan Negara yang memperincikan rancangan kerajaan secara berfasa diyakini mampu membawa negara ini keluar dari pelbagai kemelut akibat pandemik Covid-19.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan berkata, pihaknya melihat usaha itu sebagai satu langkah yang perlu disokong semua pihak agar rakyat negara ini dapat kembali menjalani hidup sejahtera dan normal seperti biasa.
“Sokongan yang dimaksudkan ialah semua kita penghuni negara Malaysia tercinta dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta arahan-arahan semasa oleh kerajaan sama ada daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) mahupun arahan langsung daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Yadim percaya semua langkah yang diambil kerajaan untuk menangani ancaman ini telah diteliti dan dibincangkan secara mendalam, lebih-lebih lagi apabila menyentuh mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Pada Selasa, kerajaan dilaporkan mewujudkan Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi untuk keluar dari kemelut pandemik Covid-19 yang melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat.
Muhyiddin berkata, peralihan itu menggariskan empat fasa membabitkan tiga indikator utama.
Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, untuk menangani ancaman Covid-19 adalah sukar seperti yang dimaklumkan Muhyiddin.
“Malah, dari sudut ekonomi, Malaysia kehilangan RM1 bilion sehari sepanjang PKP dilaksanakan.
“Namun semua pihak perlu berlapang dada, bersabar dan tidak berputus asa. Kesukaran ditempuh ketika ini adalah untuk kesejahteraan kita pada masa akan datang,” katanya.
KOMEN