PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyegerakan pelaksanaan skim upah yang lebih adil dan munasabah kepada penjawat awam, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak dapat menyegerakan pelaksanaannya tahun lalu kerana kedudukan kewangan negara selain mewarisi hutang yang tinggi.
“Kita memutuskan untuk menyegerakan pelaksanaan skim upah yang lebih adil dan munasabah kepada penjawat awam dan saudara harus percaya, kita tidak menyegerakan pada tahun lalu kerana kita mewarisi kedudukan kewangan dan hutang negara ketika itu masih RM1.5 trilion dan defisit 5.6 peratus.
“Alhamdulillah dengan kerjasama semua pimpinan, Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha (KSU), agensi dan sektor swasta, kita dapat kurangkan kepada lima peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli serta barisan anggota Kabinet.
Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, skim gaji baharu untuk penjawat awam akan diumum sebelum akhir tahun ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan, berkata beberapa garis panduan akan disediakan pada suku pertama 2024 supaya skim gaji baharu itu dapat diumumkan.
Katanya, sebelum ini tiada kajian menyeluruh mengenai skim gaji penjawat awam dilakukan namun kerajaan ketika ini sedang melaksanakannya melalui Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau bangga dengan prestasi dipamerkan penjawat awam sehingga kerajaan berupaya melaksanakan dasar untuk kebaikan rakyat termasuk pelaksanaan PADU.
“Melihat prestasi penjawat awam amat membanggakan, kalau ada pun kelemahan kecil yang sedang dipantau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tetapi umumnya sangat membanggakan.
“Maknanya kalau ada fokus yang jelas, dengan komitmen dan iltizam untuk melaksana dengan baik, saya percaya boleh dilakukan seperti mana peluncuran PADU,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar sekali lagi mengingatkan sesiapa sahaja tidak kira berjawatan Perdana Menteri atau Menteri Kewangan boleh dikenakan tindakan tegas jika terbabit dengan salah laku serta rasuah.
“Tekad kita saudara, percaya saya syukur kita mempunyai satu pendirian jelas dengan dasar, saya mula tata kelola dan melawan rasuah dengan kegigihan SPRM bertindak tanpa mengira siapa.
“Tindakan diambil terhadap tokoh (supaya tidak) terlepas apa-apa bentuk penyiasatan dan tindakan. (Jika) kamu curi kekayaan negara, (tidak kira) Perdana Menteri, Menteri Kewangan, kita terpaksa bertindak dengan tegas untuk selamatkan negara ini,” katanya.
Selain SPRM dalam membanteras rasuah, Perdana Menteri memuji usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu terbesar di Sabah, baru-baru ini.
Katanya, operasi PDRM berhasil mengambil tindakan terhadap pengedar khususnya ‘jerung’ yang mendalangi sindiket berkenaan.
“PDRM pada bulan lalu catat satu lagi tindakan dan kejayaan. Dalam kita bicara soal dadah, ratusan ribu anak terbabit (gejala) dadah dan sukar diambil tindakan terhadap pengedar besar, tauke besar.
“Maka saya salute (tabik) PDRM menjelajah ke Sabah dan ambil tindakan tegas. (Jadi) cerita jerung terlepas tak timbul lagi dan tumpuan kita adalah ke atas jerung ini supaya anak ikan beringat,” katanya.
KOMEN