Home » Persuasif » Pelajari, fahami sejarah toleransi

Pelajari, fahami sejarah toleransi

Oleh Datuk Dr. Ismail Ibrahim

RAKYAT Malaysia haruslah sentiasa diperingatkan bahawa kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini telah terkenal di seluruh dunia sebagai satu bangsa yang aman damai dan sama-sama membina pembangunan negara sebagai satu keluarga.

Ketika berbicara tentang politik negara ini, kita tidaklah harus membicarakannya berdasarkan politik partisan melulu, atau sikap taksub melampau terhadap politik dan kaum serta agama yang tertentu. Tetapi kita hendaklah sentiasa bersikap adil dan saksama, logik dan rasional akal fikiran.

Atas dasar semangat inilah nampaknya rakyat Malaysia yang bergabung dalam parti politik yang berbeza-beza masih dapat menerima kelainan fahaman politik, tetapi masih tetap mengamalkan dasar hidup bersama dalam aman damai (peaceful coexistence)

Memang banyak pelajaran yang perlu diambil dari sejarah negara kita sendiri tentang masalah berbilang kaum ini terutamanya dalam perkembangan politik dan egosentrik kepartian yang nampaknya sekarang ini agak tercetus dengan hebat di dalam media sosial, yang menjadi media popular dan mencetuskan tekno stres yang agak membimbangkan.

Peristiwa dan tragedi 13 Mei 1969 yang hanya berlaku di Kuala Lumpur di antara kaum telah memakan korban ratusan orang, iaitu satu peristiwa yang amat kecil, disebabkan oleh tindakan kerajaan pada masa itu yang nampaknya segera mengambil langkah menggantungkan Parlimen dan mengisytiharkan penubuhan Majlis Gerakan Negara oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak menggantikan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, yang meletakkan jawatannya.

Negara amat beruntung pada ketika itu kerana pada 1969 perkembangan media elektronik dan internet seperti sekarang belum lagi wujud dan berita perselisihan kaum ini tidak segera menjalar di seluruh negara dengan media baharu. Maka keganasan hanya berlaku dalam daerah yang kecil dan terhad, malah dapat dipulihkan dalam masa yang singkat sahaja.

Bagaimana pun kebijaksanaan kerajaan pada ketika itu ialah mencari penyelesaian antara kaum supaya hal ini tidak berterusan atau menimbulkan kebimbangan kaum Melayu, di antara lainnya ialah dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (DEB).

Semua kaum nampaknya bertenang dan bersabar menghadapi perselisihan kaum itu kerana keadaan yang amat meruncing itulah yang menyebabkan satu kaum hilang sabarnya.

Sejarah Melayu dan Islam ini dapat juga kita selidiki jika kembali kepada peristiwa rusuhan Natrah yang berlaku di Singapura pada Disember 1950 ketika mahkamah memutuskan supaya Natrah yang telah beragama Islam dan berkahwin dengan rakyat Islam Singapura, supaya dikembalikan kepada ibu bapanya di Belanda dan diberikan hak untuk menentukan agamanya menurut undang-undang Belanda.

Keputusan mahkamah ini telah diterima dengan baik sebagai satu keadilan undang-undang pada ketika itu. Sifat berlembut dan mesra serta penghayatan nilai agama masih menguasai pemikiran dan emosi mereka.

Rusuhan hanya berlaku apabila terdapat penipuan media massa di Belanda dan Malaya/Singapura menyiarkan berita dan gambar palsu yang menghiris perasaan rohani dan jasmani orang Islam, iaitu gambar-gambar Natrah di Belanda yang kelihatannya telah mencabar agama Islam dan budaya bangsa sendiri, sedangkan beliau tidaklah bertindak begitu dari segi rohani dan jasmaninya.

Peristiwa yang merosakkan hubungan kaum di atas haruslah kita pelajari dengan baik supaya tidak terdapat sebarang unsur yang dapat membangkitkan perasaan perkauman yang melulu dan tidak bernilai. – Utusan Malaysia

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *