KUALA LUMPUR – Padah membuat dan menghantar komunikasi jelik berhubung Nabi Muhammad menerusi akaun Facebook, seorang penuntut universiti didenda RM4,000 atau penjara 3 bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini pada 5 Mac.
Hakim M M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Ain Zafira Md Said, 28, selaku orang kena saman (OKS), selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes tersebut.
Wanita itu didakwa menggunakan laman profil Facebook “Ain Zafira Md Said” secara sedar membuat penghantaran menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain pada jam 12.05 pagi, 5 Sept, 2019.
Pautan itu dibaca di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini, pada jam 4.15 petang, 8 Sept 2019.
Ain Zafira didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – FreeMalaysiaToday
KOMEN