KUALA LUMPUR: Pelajar aliran agama tidak tidak boleh mengetepikan keperluan menguasai teknologi dan pemikiran baharu dalam memastikan pendidikan itu memperoleh keseimbangan dan tidak ketinggalan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata pelajar daripada sistem pendidikan itu juga perlu dipastikan menguasai semua cabang ilmu berikutan dunia memerlukan perubahan.
“Justeru, pendidikan (agama) tidak boleh ketinggalan dan kembali ke landasan betul serta tidak hanya menumpukan satu bidang (tahfiz) termasuk menjadi huffaz, tetapi meninggalkan teknologi.
“Dalam hal ini, perlu dipastikan terdapat keseimbangan menguasai ilmu asas, namun di samping itu harus terus berusaha meneroka dan menguasai alam dan disiplin baharu.
“Ini kerana jika negara tidak menguasai teknologi dan kecanggihan, kita hanya akan menjadi penonton dan sebab itu ada keperluan untuk menguasai kedua-dua bidang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Taman Alam Sutera Bukit Jalil di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Kompleks baharu SMISTA bernilai RM70 juta dijangka siap 2028 dan bakal memuatkan sehingga 576 pelajar, 130 guru berbanding kapasiti sedia ada iaitu hanya mampu menampung 363 pelajar dan 86 guru termasuk pengurusan sekolah.
SMISTA ditubuhkan 2011 sebelum ini beroperasi di bangunan kedai di Bandar Tun Razak di Cheras sebelum berpindah ke premis bangunan di ruang parkir di Masjid Saidina Othman Ibnu Affan sehingga kini.
Anwar berkata, tidak dinafikan pada waktu ini, ketika negara mengejar pembangunan mega, terdapat golongan yang tersisih dan dipinggirkan.
“Kita tidak mahu ada kecemerlangan, tetapi tiada nilai atau jiwa. Justeru, kita kena ambil langkah segera dan tidak mengulangi kesilapan lalu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa projek SMISTA dilaksanakan segera dan memberikan tempoh tujuh hari kepada Mohd Na’im untuk memberikan laporan mengenai perkembangan projek selain mahu proses tender dibuat dengan teliti.
“Projek yang baik tetapi jika ada pelanggaran peraturan atau cuai dari segi tatakelola akan menyebabkan ia lambat disiapkan.
“Kementerian Kewangan boleh meluluskan proses tender segera (fast track) tapi mesti tender itu mematuhi semua prosesnya, serta melantik kontraktor yang layak dan bertanggungjawab.
“Jadi saya mahu ia disiapkan segera supaya sekolah ini dapat disiapkan lebih cepat daripada jangkaan,” katanya.
KOMEN