SEREMBAN 18 Mei – Usianya baru mencecah 15 tahun, namun Ahmad Al-Atif Ahmad Subki sudah mampu menyampaikan khutbah Jumaat di hadapan jemaah yang jauh lebih dewasa.
Pelajar Asas Tiga, Kolej Permata Insan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata, dia kali pertama menjadi khatib ketika berusia 14 tahun di sebuah masjid di Ampang bagi menggantikan bapanya yang sakit.
“Alhamdulillah, ketika itu jemaah memberi reaksi baik walaupun saya berasa sedikit gementar kerana kali pertama menyampaikan khutbah di hadapan orang ramai.
“Sejak itu saya menjadi khatib untuk khutbah Jumaat sebanyak lapan kali termasuk menerima jemputan beberapa masjid di Sabak Bernam, Selangor,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ahmad Al-Atif berkata, sejak kecil dia sudah didedahkan dengan masjid dan program berunsur keagamaan oleh bapanya yang juga bekas imam Masjid As-Syakirin, KLCC.
Minatnya yang mendalam terhadap al-Quran dan riwayat hidup nabi turut mendorong pelajar itu untuk memartabatkan agama Islam di mata dunia.
Anak kedua daripada lima beradik itu juga bercita-cita menjadi imam Masjidil Haram, Mekah satu hari nanti.
Ahmad Al-Atif bakal muncul dalam sebuah program realiti televisyen, Khatib Kecil yang akan bersiaran sepanjang Ramadan ini di saluran TV AlHijrah.
Seramai empat pelajar Kolej Permata Insan dipilih untuk menjayakan program televisyen tersebut dan peserta perlu menyampaikan khutbah Jumaat kepada jemaah di beberapa buah masjid yang telah ditetapkan.
Seorang lagi pelajar, Muhammad Imran Ihtisyam Mohd. Najid, 14, berkata, peluang menjadi khatib kali pertama pada April lalu memberinya semangat untuk berusaha lebih kuat bagi memperbaiki kelemahan diri.
“Kali pertama menjadi khatib, saya bimbang orang ramai memberi reaksi tidak menyenangkan, namun tanggapan saya silap. Sejak itu, saya berazam untuk memantapkan pengucapan serta tazkirah agar lebih mantap, sekali gus diterima semua peringkat umur,” katanya.
KOMEN