Home » Langit Terbuka » Pekebun ingin mati syahid akhirnya ke penjara

Pekebun ingin mati syahid akhirnya ke penjara

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Hasrat seorang pekebun untuk mati syahid dengan menyertai kumpulan pengganas Daesh tidak kesampaian apabila dia akhirnya ditangkap pihak berkuasa dalam satu serbuan di sebuah rumah pada 16 Mac tahun lepas.

Sebaliknya, Zefrul Hashim, 39, terpaksa meringkuk dalam penjara selama lapan tahun apabila ditangkap pihak berkuasa dan dihadapkan ke mahkamah.

Lelaki itu seterusnya mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur  atas kesalahan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan pengganas Daesh dalam telefon bimbitnya.

Ketika menjatuhkan hukuman itu, Hakim Datuk Azman Abdullah berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius termasuk menyimpan gambar orang disembelih dan ditembak hingga pecah kepala.

“Kalau ada ibu bapa dan keluarga jangan bagi alasan nak pergi berjihad, jagalah mereka kerana itu perkara yang paling utama. ALLAH dah janji siapa yang menjaga ibu bapa dan keluarga dijamin masuk syurga,” nasihat Azman.

Mengikut pertuduhan pertama, Zefrul didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dan Abu Sayyaf dengan cara menggalakkan atau mendorong seorang individu yang dikenali dengan nama ‘Zahra Alisha’ untuk meninggalkan Malaysia bagi menjalankan aktiviti kumpulan pengganas melalui perbualan dalam aplikasi media sosial Facebook Messenger atas nama ‘Abu Qaqa’.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah No 28, Tingkat Perpaduan 22, Taman Perpaduan, Ulu Kinta, Perak, antara 18 Februari dan 9 Mac 2017.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen130J(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dihukum di bawah subseksyen 130J(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak lebih 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniatkan untuk melakukan kesalahan itu.

Mengikut pertuduhan kedua pula, Zefrul didakwa memiliki 109 gambar dan 116 video di dalam telefon bimbit miliknya, di mana kesemua item itu mempunyai kaitan dengan perlakuan dan perbuatan pengganas Daesh pada jam 3.50 petang, 6 Mac 2017 di tempat sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 130JB(1) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan item boleh dilucut hak.

Sementara itu, berdasarkan fakta kes selepas ditangkap, hasil pemeriksaan lanjut oleh polis telah menjumpai 116 video dan 109 keping gambar berkaitan kumpulan pengganas Daesh di dalam dua buah telefon bimbit miliknya.

Pemeriksaan ke atas telefon bimbit itu turut menjumpai satu perbualan dalam facebook massenger yang menyatakan keinginan tertuduh pergi ke Filipina dan membuat persiapan berhijrah ke negara tersebut bersama teman wanitanya bernama Zahra Alisha.

Keterangan saksi terlindung turut mengesahkan tertuduh berhasrat untuk berhijrah ke Syria bagi menyertai kumpulan pengganas di sana, namun dia menukar fikiran untuk ke Basilan, Filipina kerana kos perjalanan lebih rendah dan ingin mati syahid lebih cepat susulan sedang berlaku peperangan antara tentera Filipina dan Abu Sayyaf.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *