Home » Langit Terbuka » PBB didesak bertindak isu Rohingya

PBB didesak bertindak isu Rohingya

Mapim juga menuntut agar kerajaan Myanmar membayar ganti rugi terhadap kerosakan harta benda serta kehilangan nyawa orang awam hasil tindakan kejam mereka, tegas Presidennya.

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera menyelesaikan isu pelarian etnik Islam Rohingya di sempadan Bangladesh dan Myanmar.

Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, umum sedia maklum bahawa ribuan warga Rohingya telah melarikan diri ke sempadan Bangladesh atau di Cox Bazaar sejak Ogos 2017 berikutan tindakan ganas tidak berperikemanusiaan tentera Myanmar.

Katanya, hasil daripada pengusiran beramai-ramai berkenaan mengakibatkan secara tidak langsung Bangladesh telah menjadi tuan rumah kepada lebih daripada satu juta etnik Rohingya.

“Dalam perkara berkaitan perjanjian MoU (memorandum persefahaman) terdahulu di antara kerajaan Bangladesh dan Myanmar bagi membenarkan warga Rohingya kembali ke tanah air mereka telah ditolak oleh warga Rohingya itu sendiri.

“Mereka kurang yakin bahawa adanya janji tuntas yang telah diberikan oleh kerajaan Myanmar bagi menjamin keselamatan nyawa mereka dan keluarga sekembalinya ke tanah air. Dalam perkara ini, Mapim membantah rancangan memaksa pulang pelarian Rohingya, melainkan ada jaminan konkrit bagi proses ini dilaksanakan di bawah pengawasan tentera pengaman PBB,” katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan itu, Mohd. Azmi mahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) segera campur tangan serta mengerahkan tentera pengaman PBB ke Myanmar bagi menjamin keselamatan warga Rohingya di Myanmar.

Selain itu, katanya lagi, PBB juga wajar menguatkuasakan zon-zon keselamatan bagi pelarian Rohingya dan mengenakan sekatan antarabangsa terhadap Myanmar.

“Myanmar telah secara jelas melanggar undang-undang hak asasi manusia. Negara tersebut juga harus dipertanggungjawabkan ke atas semua jenayah kemanusiaan yang telah dilakukan.

“Kami juga menuntut agar kerajaan Myanmar membayar ganti rugi terhadap kerosakan harta benda serta kehilangan nyawa orang awam hasil tindakan kejam mereka,” katanya. – Utusan Online

 

 

Artikel Berkaitan

Bengkel Pelan Strategik YADIM 2024

WALAUPUN Sudah banyak kejayaan yang dikecapi, warga badan dakwah ini diseru untuk tidak cepat berpuas hati, malah perlu berusaha lebih gigih lagi

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *