KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara mengingatkan semua pihak, termasuk bakal calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan penyokong parti politik masing-masing supaya sentiasa menghormati undang-undang yang ditetapkan.
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, menjelang hari pengundian pada 9 Mei depan, segala kempen dan bentuk sokongan kepada calon parti masing-masing perlulah mematuhi undang-undang.
“Dalam keghairahan berkempen dan menyokong calon parti masing-masing, semua pihak disarankan untuk sentiasa berjaga-jaga dalam tindakan yang diambil supaya tidak melangkaui batas undang-undang yang ditetapkan.
“Undang-undang yang ditetapkan khususnya peruntukan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5], Akta Hasutan 1948 [Akta 15] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
“Akta lain adalah Akta Kesalahan Kecil 1955 [Akta 336], Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 [Akta 588], Akta Antiberita Tidak Benar 2018 [Akta 803] dan lain-lain,” katanya satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Mohamed Apandi berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan yang tegas terhadap sebarang perbuatan yang melanggar mana-mana peruntukan undang-undang, demi memastikan PRU14 dapat dilaksanakan dalam keadaan aman dan tenteram. BERITA HARIAN
KOMEN