JERAI 9 Ogos – Satu pasukan khas diwujudkan untuk menangani masalah visa jemaah haji, selain memastikan urusan penerbangan ke Tanah Suci berjalan lancar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pasukan itu akan memantau proses pemergian bakal jemaah dari semasa ke semasa bagi memastikan tidak berlaku penangguhan perjalanan menunaikan ibadah itu.
Menurutnya, kerjasama dengan kerajaan Arab Saudi memberikan impak positif apabila bilangan bakal jemaah yang berhadapan dengan masalah visa semakin berkurangan.
“Kerajaan Arab Saudi menerusi kedutaannya memberikan arahan agar isu visa tertangguh itu diberikan perhatian,” katanya selepas merasmikan majlis Pelancaran Projek Mengurangkan Risiko Banjir di Kampung Sungai Bongkok, Gurun dekat sini hari ini.
Jamil Khir mengulas laporan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bahawa pihaknya berusaha menyelesaikan masalah visa haji yang dihadapi sebahagian kecil jemaah.
Menurutnya, Tabung Haji mengemaskini maklumat mengenai jumlah bakal jemaah yang belum mendapat visa setiap hari dan memberi jaminan akan berusaha menyelesaikan isu tersebut dengan segera.
“Penerbangan yang tertunda akan disusun semula memandangkan proses mendapatkan visa memerlukan masa panjang. Jika tidak dapat penerbangan yang dijadualkan, kita akan susun dalam jadual berikutnya,” katanya.
Beliau menambah, proses mendapatkan visa bukan mudah kerana ia perlu kebenaran kerajaan Arab Saudi bagi memperoleh kelayakan tanpa sebarang keraguan tentang status bakal jemaah.
Tambahnya, 50 peratus daripada 30,200 bakal jemaah Malaysia sudah berlepas ke Tanah Suci. – www.utusan.com.my
KOMEN